EKONOMI > BERITA

GETHA PENUHI PERMINTAAN UNTUK PRODUK BAYI DENGAN PERKUKUH JENAMA GENIE

05/05/2024 03:45 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Getha (1969) Sdn Bhd merancang untuk memperluas barisan produk Genie by Getha untuk memenuhi keperluan golongan muda di rantau ini yang semakin tertumpu kepada kehidupan sihat dan kepenggunaan.

Dengan generasi ketiganya menerajui perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif Getha Melissa Tan Chien Yi berkata jenama yang dikendalikan oleh keluarga, terkenal dengan tilam lateks dan bantalnya untuk membantu pelanggan mendapat tidur yang lena dan seterusnya, kesihatan yang lebih baik, kini menghasilkan produk penjagaan ibu dan bayi.

“Kami menghasilkan produk bayi dan turut menghasilkan produk bayi untuk jenama lain. Semasa pandemik COVID-19, kami menyedari sumber tambahan Getha dan kami mahu mengembangkannya lagi (untuk syarikat).

“Sumber ini kini disalurkan kepada Genie by Getha, yang dilancarkan secara rasmi pada 2021,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata Genie, yang menggunakan 100 peratus lateks, mempromosikan produk berkualiti tinggi untuk bayi dan kanak-kanak dengan merujuk kajian komprehensif yang dijalankan oleh pakar dari segi tidur dan keselesaan.

Beliau berkata trend tersebut tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia dan mempertimbangkan pilihan pengguna yang berubah-ubah dan trend yang berkembang ini, Getha berhasrat untuk memperluas jenamanya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Dengan pelan untuk mempromosikan jenama Genie secara agresif di luar negara, terutamanya dalam pasaran seperti Singapura, Thailand dan Taiwan, Getha menyasarkan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk bayi premium di rantau ini.

“Selain itu, syarikat sedang meninjau peluang untuk memperkenalkan produk baharu dan memperluas rangkaian pengedarannya untuk meneroka pasaran sedang pesat membangun,” katanya.

Tan berkata Getha kini boleh didapati di 25 negara dan Genie akan menyusul.

“Kami telah bekerjasama dengan rangkaian produk ibu dan bayi yang kukuh untuk menjual produk kami dan kami secara agresif mempromosikan jenama di peringkat tempatan, terutamanya di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata dengan wujudnya pemasaran digital dan perubahan pilihan pengguna, pihaknya turut mencapai kawasan lain di Malaysia secara dalam talian.

Kebanyakan negara ASEAN mencatatkan kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan golongan muda, membawa kepada permintaan meningkat untuk produk bayi dan bersalin.

Trend ini juga konsisten dengan urbanisasi dan kesedaran kesihatan yang meningkat selain pengguna kelas pertengahan di ASEAN bersedia untuk membayar lebih untuk jenama terkemuka.

Ibu bapa yang lebih muda berminat untuk membeli produk terbaik untuk anak-anak mereka dan lebih mengambil berat tentang kesihatan dan kebersihan bayi, sebahagiannya dipengaruhi oleh inisiatif kerajaan yang mempromosikan pemakanan dan kesihatan, membawa kepada permintaan meningkat untuk produk bayi semula jadi dan tidak menimbulkan alahan.

Secara ketara, terdapat trend yang meningkat dalam kalangan wanita di ASEAN untuk menyertai pasaran tenaga kerja dan mendapat kawalan ke atas pendapatan mereka, yang mempengaruhi tingkah laku sosial dan pembelian mereka, mendorong pengguna untuk memberikan keutamaan kepada keselesaan apabila mencari perkhidmatan dan produk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan