EKONOMI > BERITA

CIMB SECURITIES SASAR KUASAI PASARAN DIGIT TUNGGAL TINGGI MENJELANG AKHIR TAHUN

10/05/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Subsidiari milik penuh CIMB Invesstment Bank Bhd, CIMB Securities Sdn Bhd, sedang mengintai bahagian pasaran satu digit yang tinggi dalam ruang pembrokeran saham menjelang akhir tahun ini, khususnya dalam segmen borong.

Ketua Pegawai Eksekutif Ruzi Rani Ajith berkata syarikat itu memperoleh 4.54 peratus bahagian pasaran setakat Mac dan berjaya menarik RM6.3 bilion dalam nilai urus niaga blok yang besar serta penempatan sekunder.

Di bawah rancangan lima tahun CIMB Securities, ia mahu menjadi pemain terkemuka dalam ruang pasaran modal, katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran CIMB Securities di sini hari ini.

“Kami menyasarkan untuk menjadi peneraju utama bagi memudahkan aliran masuk dan aliran keluar dagangan ke dalam pasaran modal Malaysia melalui kerjasama dengan kerajaan untuk mempromosikan daya tarikan pasaran modal Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Ruzi menjelaskan untuk tujuan tersebut, CIMB Securities akan memberi tumpuan kepada pelanggan institusi dan korporat.

“Fokus kami adalah melalui kerjasama. Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi global serta serantau bagi membawa kandungan antarabangsa kepada penyelidikan kami, selain menyediakan akses kepada pasaran antarabangsa untuk memacu pasaran Malaysia,” katanya lagi.

Pengarah Urusan dan Ketua Jualan Institusi Antarabangsa dan Perkongsian Strategik CIMB Securities Liew Kuo Aun berkata keyakinan syarikat itu disokong oleh prospek yang positif bagi Bursa Malaysia serta ringgit.

Beliau berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan ke arah nisbah harga-kepada-keuntungan purata lima tahun yang bersamaan dengan 1,623 mata dalam tempoh terdekat.

Ringgit juga dijangka mengukuh untuk baki tahun ini, ujarnya.

Pada Februari 2024, CIMB Group Holdings Bhd menyimpulkan pengambilalihan KAF Equities Sdn Bhd, melalui CIMB Investment Bank Bhd, dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai CIMB Securities.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan