EKONOMI > BERITA

PELABUHAN TANJUNG PELEPAS DALAM KELOMPOK LIMA TERATAS KECEKAPAN GLOBAL

11/06/2024 06:45 PM

JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara MMC Group Malaysia dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, tersenarai sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia.

Mengikut Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 yang baharu dikeluarkan, PTP melonjak satu anak tangga daripada kedudukan keenam sebelum ini selain meraih kedudukan utama di peringkat rantau Asia Tenggara.

Dalam kenyataannya, Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata pencapaian itu membuktikan usaha pelabuhan berkenaan bagi meningkatan keselamatan, kecemerlangan operasi dan penambahbaikan berterusan, membuahkan hasil.

Malah, ini sekali gus turut memacu prestasi menerusi rantaian bekalan dan membolehkan PTP memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

“Sebagai peneraju utama di Asia Tenggara, PTP tidak hanya mengukuhkan lagi status sebagai hab pemunggahan kargo paling sibuk dan terbesar Malaysia, tetapi turut mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk penting dagangan untuk rantau ini walaupun dalam persekitaran mencabar sekarang.

“Pencapaian bermakna itu juga menjadi bukti kegigihan luar biasa tenaga kerja yang kami banggakan. Ini turut menyerlahkan kestabilan dan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mark Hardiman berkata selain aspek kecekapan, PTP turut menekankan kepentingan agenda kemampanan perniagaan yang jelas. 

“Menerusi usaha menyelaraskan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan dan strategi pendigitalan, kami bukan hanya meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan operasi, tetapi turut meminimumkan kesan kepada alam sekitar. 

“Salah satu sasaran penting usaha berterusan kami adalah menyasarkan pengurangan pelepasan sebanyak 45 peratus menjelang 2030 selain terus berusaha mencatat prestasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata PTP juga kekal komited terhadap inovasi dan kecekapan serta akan terus melabur dalam infrastruktur, teknologi canggih dan tenaga kerja yang dihargai dalam mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam operasi pelabuhan kontena global.

CPPI yang diwujudkan oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence, adalah berdasarkan kepada maklumat data paling luas dan merangkumi 405 pelabuhan di serata dunia.

Ini termasuk lebih 182,000 jumlah singgahan kapal, 238.2 juta pergerakan dan kira-kira 381 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) untuk keseluruhan tahun kalendar 2023.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan