EKONOMI > BERITA

SP SETIA JUAL TANAH DI JOHOR BERNILAI RM564 JUTA

11/06/2024 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- SP Setia Bhd melalui anak syarikatnya Pelangi Sdn Bhd menyelesaikan penjualan tanah berkeluasan 388.38 hektar di Tebrau, Johor kepada Senibong Island Sdn Bhd berharga RM564 juta.

Pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini berkata, dengan memanfaatkan potensi nilai aset itu, perjanjian berkenaan meningkatkan kedudukan kewangan syarikat, menyumbang kepada jangkaan keuntungan selepas cukai sebanyak RM332 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Choong Kai Wai berkata urus niaga itu melengkapkan usaha syarikat untuk mengurangkan tahap kadar hutang.

“Dengan menguruskan struktur modal kami dengan cekap, menyalurkan sumber kepada projek sedang pesat membangun, merasionalkan struktur kos, dan secara langsung meningkatkan keuntungan, Setia berada dalam kedudukan lebih baik untuk pengembangan dan kemampanan jangka panjang,” katanya.

Choong berkata syarikat itu akan terus menumpukan usaha kepada aliran hasil lain menerusi pengurusan simpanan tanah, melaksanakan usaha agar dikenali dalam pembangunan perindustrian dan meneruskan pengembangan serantau di Vietnam dan Australia bagi meluaskan asas pendapatan selain pelaksanaan kukuh projek perbandaran seiring dengan permintaan pasaran.

Setia juga telah memulakan kerja persediaan untuk tawaran awam prapermulaan bagi mempertimbangkan penubuhan amanah pelaburan hartanah (REIT), memperlihatkan kepelbagaian portfolio aset, yang dijangka antaranya kompleks runcit, bangunan pejabat, sekolah dan pusat konvensyen, mencipta laluan baharu untuk nilai pelabur dan pertumbuhan syarikat.

“Strategi kami untuk merealisasikan nilai aset tanah yang dikenal pasti telah membawa kami lebih dekat dengan keadaan kewangan lebih kukuh dan menyokong usaha untuk mempelbagaikan asas pendapatan kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan