EKONOMI > BERITA

MANFAATKAN TIGA MEGATREND GLOBAL BOLEH TINGKATKAN PELABURAN DI ASEAN -- TENGKU ZAFRUL

11/06/2024 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pelaburan di ASEAN boleh ditingkatkan dengan ketara menerusi usaha memanfaatkan secara berkesan tiga megatrend global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketika ASEAN terus menyepadu ke dalam ekonomi global, rantau ini perlu menangani impak ketara daripada megatrend global yang berbilang dimensi dan pelbagai, katanya.

“Tiga megatrend utama yang terutamanya relevan adalah pengurangan risiko atau mengurangkan kesalingbergantungan antara negara, usaha global mencapai pelepasan sifar bersih dan transformasi digital,” kata Tengku Zafrul menerusi ucap tama beliau pada forum  “Expectations of Malaysia's upcoming chairmanship of ASEAN” yang dianjurkan oleh ASEAN Business Club, di sini, hari ini.

Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan, akan menetapkan agenda integrasi serantau untuk perkumpulan itu dengan pelancaran Wawasan Komuniti ASEAN 2045 semasa kepengerusiannya.

Mengenai trend pertama pengurangan risiko, Tengku Zafrul berkata ASEAN berpotensi menjadi pusat pertumbuhan fasa seterusnya di South Global (yang merujuk kepada rantau Amerika Latin, Asia, Afrika dan Ocenia.).

“Pelabur, pengeksport, negara dan blok ekonomi mesti berhati-hati meletakkan diri mereka dalam dunia yang multipolar yang mana keseimbangan kuasa baharu atau aturan dunia kekal tidak menentu. Perubahan landskap geopolitik, termasuk ketegangan perdagangan dan perikatan yang berubah-ubah, boleh memacu aliran perdagangan dan pelaburan ASEAN yang semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, banyak rakan dialog ASEAN, termasuk India, China, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, sedang menilai semula prospek dan  komitmen mereka untuk mengukuhkan atau mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan ASEAN, khususnya dalam bidang pertumbuhan yang sedang pesat membangun.

“Negara-negara seperti Kanada, Majlis Kerjasama Teluk, dan Switzerland juga sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi mereka dengan ASEAN,” katanya.

Walaupun trend ini meningkatkan keupayaan ASEAN untuk membentuk landskap ekonomi global, beliau berkata, ASEAN, dan seterusnya, Malaysia, mesti terus kekal berkecuali.

“Kita mesti kekal sebagai rantau berkecuali, perdagangan terbuka untuk semua,” tegasnya.

Mengenai megatrend kedua usaha global mencapai pelepasan sifar bersih, Tengku Zafrul berkata ia menyediakan peluang pelaburan dan perdagangan baharu yang tertumpu pada masa depan yang lebih hijau, termasuk kredit karbon, sijil, arus atau keupayaan pengecasan.

Beliau berkata Malaysia sedang muncul sebagai peneraju dalam bidang keneutralan karbon dan ekonomi sirkular.

Walaupun banyak negara anggota ASEAN semakin menyepadukan pertimbangan ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) dalam operasi masing-masing, sebahagian yang lain berdepan cabaran berikutan kekurangan kapasiti, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang akan meneraju tonggak ekonomi dalam kepengerusian Malaysia, berhasrat memacu projek seluruh ASEAN yang memudahkan perkongsian kepakaran serantau dalam teknologi hijau, menyokong negara ASEAN yang menyifatkan perjalanan kemampanan adalah lebih mencabar.

Untuk mempercepatkan penyahkarbonan dan mencapai ekonomi neutral karbon, ASEAN telah membangunkan Strategi ASEAN untuk Keneutralan Karbon. Selain itu, Rangka Kerja ASEAN bagi Ekonomi Kitaran adalah bertujuan meningkatkan kecekapan sumber, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan yang mampan.

“Pematuhan terhadap rangka kerja ini oleh perniagaan akan terus meningkatkan peluang pasaran dan daya saing hijau produk dan perkhidmatan ASEAN di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai megatrend transformasi digital, Tengku Zafrul berkata ketika negara-negara ASEAN melabur dalam infrastruktur digital untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memacu pertumbuhan ekonomi, Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) akan datang -- yang kini sedang dirundingkan -- adalah penting kepada penyepaduan digital serantau.

"Ini akan menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan yang inklusif," katanya.

Beliau berkata transformasi digital dan inovasi adalah teras kepada usaha perindustrian semula ASEAN.

"Negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam melabur dalam automasi, kecerdasan buatan dan Internet Pelbagai Benda untuk meningkatkan keupayaan industri," katanya.

Tengku Zafrul berkata selain sokongan antara kerajaan daripada anggota ASEAN, kejayaan Malaysia sebagai pengerusi pada 2025 akan memerlukan sokongan teguh daripada sektor swasta, termasuk penggiat perniagaan dan peneraju industri.

“Saya memohon anda menyokong hasrat Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada 2025.

“Kami yakin penglibatan yang konsisten dengan komuniti perniagaan adalah penting. Kami mengalu-alukan pendekatan kolaboratif untuk memastikan usaha berterusan kami dalam rangka kerja ASEAN sejajar dengan keperluan perniagaan dan piawaian global,” katanya.

Pada tahun ini, Laos merupakan pengerusi ASEAN. Selepas Malaysia mengambil alih jawatan itu pada 2025, jawatan pengerusi akan diserahkan kepada Filipina pada 2026.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan