EKONOMI > BERITA

PELABUR ASING DAHULUI KEMASUKAN ALIRAN DANA KE PASARAN BON MALAYSIA - KENANGA IB

12/06/2024 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Data makroekonomi Malaysia yang kukuh dan kelemahan dalam petunjuk utama Amerika Syarikat (AS) telah menarik pelabur asing menyalurkan dana mereka ke pasaran hutang Malaysia pada Mei.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Kenanga Investment Bank (Kenanga IB) berkata jumlah pegangan hutang asing meningkat kepada RM271.9 bilion pada Mei berbanding RM266.4 bilion pada April, dengan bahagian jumlah hutang terkumpul meningkat kepada 13.2 peratus berbanding 13.0 peratus pada April, paras tertinggi dalam lima bulan.

Ia berkata pada 7 dan 8 Mei, pelabur bersih membeli RM2.3 bilion dalam bon berikutan pengeluaran laporan pekerjaan AS dan angka perkhidmatan ISM yang lemah.

“Selain itu, pada 17 Mei, angka inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan dan jualan runcit yang lemah menyebabkan aliran masuk berjumlah RM900 juta dalam sehari.

"Turut menyumbang kemasukan aliran ini ialah data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) domestik yang kukuh, di samping sentimen pengguna AS yang semakin berkurangan," katanya.

Kenanga IB berkata aliran masuk yang besar pada Mei dipacu oleh pengaliran dana ke dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan