EKONOMI > BERITA

IPO JOHOR PLANTATIONS BERHARGA 84 SEN SESAHAM, SASAR KUMPUL RM735 JUTA

12/06/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG), sebuah syarikat perladangan minyak sawit huluan, menetapkan harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 84 sen sesaham dengan menyasarkan untuk mengumpul RM735 juta.

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 464 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 411 juta saham sedia ada.

JPG merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 Julai, 2024.

Pengarah Urusan Mohd Faris Adli Shukery berkata objektif kumpulan itu adalah untuk menarik pelabur dan meningkatkan jenamanya secara konsisten dengan menyampaikan pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk pihak-pihak berkepentingan melalui IPO.

Katanya, kira-kira 50.5 peratus daripada jumlah hasil daripada IPO akan digunakan untuk membiayai pembinaan kompleks minyak sawit mampan bersepadu dan aktiviti-aktiviti penanaman semula.

Sementara itu, 43.0 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, 1.7 peratus untuk modal kerja, dan selebihnya untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian, tambahnya.

“Kami sedang membangunkan kompleks 'greenfield' secara integrasi penuh, termasuk kilang, kilang penapisan dan kilang penghancuran di kawasan yang sama. Ini memudahkan rantaian bekalan,” katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran prospektus itu hari ini.

Sehingga 13 Mei, 2024, JPG memiliki 23 ladang kelapa sawit, terdiri daripada 22 di Johor dan satu di Pahang, meliputi jumlah simpanan tanah seluas 59,781 hektar.

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 2.5 bilion saham dan harga IPO sebanyak 84 sen sesaham, permodalan pasaran syarikat akan bernilai RM2.1 bilion, menjadikannya penyenaraian IPO terbesar di Bursa Malaysia Securities Bhd setakat tahun ini.

Pelabur asas yang melanggan termasuk Abrdn Islamic Malaysia Sdn Bhd, Abrdn Malaysia Sdn Bhd, AHAM Asset Management Bhd, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd, Areca Capital Sdn Bhd, Fortress Capital Asset Management (M) Sdn Bhd, dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), secara kolektif memegang kira-kira 37.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 875 juta saham IPO.

Mohd Faris berkata JPG juga mengamalkan dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 50.0 peratus daripada keuntungan teraudit tahunan selepas cukai kepada pemegang saham.

“Sejak beberapa tahun, JPG telah berkembang dengan ketara dalam industri minyak sawit. Kami mempunyai beberapa inisiatif dalam perancangan untuk meningkatkan daya saing, memberi tumpuan kepada meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah dan mengembangkan usaha dalam sektor hiliran.

“Kami berhasrat untuk mempelbagaikan dan menjadi pengeluar minyak sawit bersepadu sepenuhnya melalui usaha hiliran, memberi tumpuan kepada minyak dan lemak khusus. IPO adalah langkah strategik untuk membuka potensi penuh kami dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak-pihak berkepentingan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan