EKONOMI > BERITA

UMS, CHIN WUI TRADING METERAI SURAT HASRAT UNTUK TINGKATKAN JUALAN PERNIAGAAN TEMPATAN

12/06/2024 05:46 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 12 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan telah menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Chin Wui Trading untuk bekerjasama menyokong dan meningkatkan jualan perniagaan kecil-kecilan tempatan melalui pemasaran digital yang inovatif.

Dekan Fakulti berkenaan Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata pemeteraian itu menandakan permulaan usaha kerjasama yang direka untuk meningkatkan dan memperkasakan Chin Wui Trading.

“Fakulti itu komited untuk memanfaatkan kepakaran perniagaan dan kewangannya yang luas untuk memupuk pertumbuhan mampan bagi syarikat tersebut.

“Kami juga akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai disiplin perniagaan dan kewangan untuk membantu syarikat mikro dan kecil seperti Chin Wui Trading. Matlamat kami adalah untuk memastikan pendapatan dan pertumbuhan mereka adalah lestari,” katanya semasa majlis menandatangani LoI itu di sini hari ini.

Geoffrey berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, fakulti berkenaan menerajui projek bertujuan untuk memperluaskan pengiktirafan produk Chin Wui Trading melalui pelbagai peralatan pemasaran digital.

“Projek ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan jangkauan pasaran syarikat tetapi juga menyediakan pengalaman praktikal yang tidak ternilai untuk pelajar fakulti.

“Kerjasama antara UMS dan Chin Wui Trading mencerminkan sumbangan bermakna kepada ekonomi tempatan, menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan perusahaan mikro dan kecil melalui sinergi akademik dan perniagaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Chin Wui Trading Liau Wui Jun berterima kasih atas sokongan dan bimbingan universiti tersebut dalam membangunkan perniagaannya.

“Chin Wui Trading terkenal dengan rangkaian pelbagai produk makanan terutamanya tepung goreng popularnya.

"Kami komited untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan dan teruja dengan peluang ini untuk meluaskan pasaran kami," kata Liau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan