EKONOMI > BERITA

EKOSISTEM SYARIKAT PEMULA NIAGA DI KUALA LUMPUR JANA LEBIH RM220 BILION - CRADLE FUND

13/06/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Ekosistem syarikat pemula niaga di Kuala Lumpur telah menjana lebih RM220 bilion (US$47 bilion) dalam nilai ekosistem dari 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2024, kata Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund).

Cradle Fund dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata nilai ekosistem mengukur impak ekonomi di bandar daripada ‘value of exits’ dan penilaian terhadap syarikat pemula niaga.

‘Value of exits’ bermaksud nilai yang direalisasikan oleh pelaburan apabila ia dijual atau sebaliknya, ia sering digunakan apabila membincangkan pulangan pelaburan dalam ekuiti persendirian atau pelaburan modal teroka.

Cradle Fund adalah agensi ekosistem pemula niaga Malaysia di bawah Kementerian Kewangan, ditadbir oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kenyataan itu berkata Kuala Lumpur turut menerima pengiktirafan dalam Laporan Ekosistem Pemula Niaga Global (GSER) 2024 terbaharu, meletakkannya antara 30 ekosistem baharu teratas, mencerminkan pertumbuhan pesatnya dan kesan ekonomi yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund, Norman Matthieu Vanhaecke berkata pencapaian itu menekankan usaha dan inisiatif strategik untuk memupuk persekitaran yang kondusif untuk syarikat pemula niaga.

"Malaysia melihat syarikat pemula niaga sebagai kuasa penting dalam memacu inovasi tempatan dan kemajuan teknologi. Cradle Fund berusaha untuk menggabungkan sumber dan pengalaman semua pihak berkepentingan dalam ekosistem.

"Dengan komitmen konsisten untuk memupuk ekosistem berprestasi tinggi, inklusif, global dan mampan, Cradle Fund berazam memacu Malaysia ke barisan hadapan dalam ekosistem syarika pemula niaga global," katanya.

Menurut laporan GSER 2024, ekosistem di Kuala Lumpur juga telah mencapai kedudukan penting dalam beberapa bidang utama dalam Asia, iaitu 15 Ekosistem Asia Teratas Terbaik dalam Pembiayaan, 20 Ekosistem Asia Teratas dalam Prestasi dan 20 Ekosistem Asia Teratas dalam Bakat dan Pengalaman.

Ekosistem Kuala Lumpur disenaraikan antara 25 Teratas Ekosistem Asia dalam Bakat Mampu Milik dan 30 Teratas Ekosistem Asia dalam ‘Bang for Buck’ (Berkualiti) dan Pekerja Berpendidikan Tinggi, selain itu kemudahan menjalankan perniagaan sebagai sebab syarikat pemula niaga harus beralih ke ekosistem tersebut, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan