EKONOMI > BERITA

SOLARVEST BELI EMPAT TINGKAT RUANG PEJABAT, UNIT RUNCIT DI SOLARVEST TOWER

13/06/2024 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Unit Solarvest Holdings Bhd (Solarvest), Solarvest Energy Sdn Bhd telah memeterai tiga perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan BK Alliance Sdn Bhd untuk membeli empat tingkat ruang pejabat dan runcit terletak di atas bumbung di Menara Solarvest di Bangsar South pada harga RM48.73 juta.

BK Alliance terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan serta pemaju untuk Menara Solarvest, ia adalah anak syarikat milik penuh Chin Hin Group Property Bhd.

Menara Solarvest, pembangunan menara pejabat 34 tingkat itu kini kira-kira 40 peratus siap setakat 23 Mei 2024, ia masih dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Mac 2028.

Solarvest berkata pertimbangan pembelian akan dipenuhi sepenuhnya secara tunai akan dibiayai menerusi gabungan dana dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

“Ia mewakili diskaun kira-kira RM0.07 juta atau 0.14 peratus kepada nilai pasaran hartanah sebanyak RM48.80 juta berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh penilai bebas,” kata pembekal solar bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini,

Cadangan pembelian itu akan membolehkan syarikat itu menubuhkan ibu pejabat baharunya dan memiliki premis perniagaan tetap untuk mengembangkan perniagaan, operasi dan kakitangannya.

“Dengan berbuat demikian, Solarvest dapat menyediakan kemudahan perniagaan yang sesuai dengan keperluan perniagaannya untuk kecekapan operasi dan kos lebih baik dalam tempoh jangka panjang.

“Selain itu, ia dijangka dapat memenuhi permintaan untuk ruang pejabat moden dan berkualiti kerana terletak secara strategik di Bangsar South sebagai salah satu alamat (lokasi) paling popular di Lembah Klang,” katanya.

Solarvest juga berkata cadangan pembelian itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa nanti.

"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, Menara Solarvest dijangka siap pada separuh kedua 2024," katanya.

M&A Securities Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bagi cadangan pelupusan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan