EKONOMI > BERITA

MTT SHIPPING AKAN TERIMA ENAM LAGI KAPAL TAHUN INI

22/06/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- MTT Shipping Sdn Bhd yang melancarkan kapal kontena baharunya MV MTT Bintangor hari ini akan menerima penghantaran enam lagi kapal tahun ini.

Syarikat perkapalan tempatan itu telah menerima penghantaran enam kapal setakat ini dan kapal tambahan itu akan meningkatkan jumlah kapalnya kepada 27 kapal.

Pengarah Urusan MTT Shipping Ooi Lean Hin berkata dengan pesanan enam kapal baharu yang akan dihantar, pihaknya menyasar untuk mencapai jumlah kapasiti nominal hampir 29,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, MV MTT Bintangor di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada Sabtu.

Kapal terbaru berkapasiti 1,836 TEU itu memulakan pelayaran sulungnya ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Sabah, dan Pelabuhan Bintulu, Sarawak.

“MV MTT Bintangor dilengkapi dengan enjin Mitsubishi Eco LSH siri Tier III, menampilkan sistem kawalan elektronik canggih yang meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasan ekzos dengan ketara,” katanya.

Ooi berkata kapal itu menepati matlamat alam sekitar yang ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Kapal ini menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap operasi maritim yang mampan. Kapal ini melambangkan pertumbuhan dan dedikasi kami terhadap kepada amalan mampan, selain komitmen kami terhadap perkhidmatan negara,” katanya.

MTT Shipping mencatatkan pertumbuhan pesat sejak mula beroperasi pada Disember 2010.

Beliau berkata syarikat itu berkembang daripada sebagai peserta baharu yang menggunakan kapal sewa dan kontena pajakan kini menjadi pengendali perkapalan kontena tempatan terbesar di Malaysia.

“Syarikat kini mempunyai rangkaian perkhidmatan yang luas meliputi pelabuhan serantau seperti Singapura, Bangkok, dan Calcutta, dan pelabuhan sungai khusus di Kepulauan Riau dan Sumatera, Indonesia.

“Peningkatan kumpulan kapal kami didorong oleh keperluan untuk mengukuhkan kapasiti perkapalan Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada tanan asing,” katanya.

Ooi menekankan walaupun menghadapi cabaran global, termasuk kesesakan pelabuhan dan gangguan rantaian bekalan, MTT Shipping tetap komited untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia Timur.

“Kami telah meningkatkan penggunaan kapal kami untuk mengatasi pengurangan kapasiti yang disebabkan oleh kesesakan pelabuhan dan akan terus mengutamakan pasaran domestik kita.” katanya.

Beliau juga menegaskan kesan yang lebih luas bagi industri maritim Malaysia.

“Pada 1990, kumpulan kapal Malaysia membentuk tujuh peratus daripada jumlah tanan Asia Tenggara, menjelang 2023, keadaan turun kepada hanya lima peratus.

“Kami mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk mengubah aliran ini dan menyokong matlamat Malaysia untuk meningkatkan kumpulan kapal maritim,” katanya.

Beliau berkata usaha MTT Shipping tepat pada masanya ketika banyak negara perdagangan termasuk India menetapkan matlamat yang tinggi untuk meningkatkan kumpulan kapal maritim masing-masing.

Ooi berkata beliau berharap pengembangan berterusan MTT Shipping akan menyumbang secara ketara kepada kapasiti perkapalan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan