EKONOMI > BERITA

IMPAK RASIONALISASI SUBSIDI DIESEL MEMBERANGSANGKAN, SEPERTI DIRANCANG - AMIR HAMZAH

24/06/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyifatkan impak Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel, yang melibatkan langkah penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, amat memberangsangkan dan berlangsung seperti dirancangkan.

Beliau berkata perkara ini berikutan trend peningkatan jualan diesel komersial yang menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi, telah berkurang.

“Untuk makluman semua, susulan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, berdasarkan rekod jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.

“Bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari, yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran,” katanya pada sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata maklumat yang diterima daripada sebuah syarikat minyak, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus.

“Ini mengesahkan bahawa sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan kita,” katanya dan menambah badan penguat kuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan.

Amir Hamzah berkata badan-badan ini, bertanggungjawab untuk membendung sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 bagi mengekang aktiviti ketirisan subsidi diesel dan tahun lepas sebanyak 877 kes dikendalikan di bawah OPS TIRIS 1.0 dan 2.0, melibatkan jumlah sitaan sekitar 6.4 juta liter minyak diesel dengan anggaran nilai lebih RM14.2 juta. 

“Sitaan ini melibatkan aset dan peralatan seperti kenderaan, hos dan alatan menyedut minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM42.1 juta.

“Hasil tindakan ini juga telah berjaya menangkap 667 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan ketirisan subsidi negara,” katanya.

Amir Hamzah berkata pada 1 Jan 2024, OPS TIRIS 3.0 dilaksanakan dan sehingga 22 Jun, 570 kes melibatkan penyitaan 5.1 juta liter minyak diesel bernilai hampir RM12 juta serta rampasan aset dan peralatan RM46 juta selain 275 tangkapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan