EKONOMI > BERITA

GIP DIPILIH SUSULAN SETUJU KEKAL LANTIK RAKYAT MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI, CEO MAHB - PM ANWAR

25/06/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan pemilikan kolektif saham majoriti milik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, selain GIP, pihak lain tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Anwar, Khazanah dan KWSP menetapkan syarat ketat yang akan menyaksikan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini sebaik sahaja penstrukturan pengendali lapangan terbang itu selesai.

“Khazanah melaporkan bahawa, apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, 145 syarikat yang berminat dan akhirnya lima yang layak. 

“Syarikat lain yang berminat, ia mahu hak mengurus. Maknanya CEO rakyatnya atau ia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima (oleh Khazanah dan KWSP). Itulah sebabnya mengapa GIP diambil,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu mengenai merit pemilihan GIP dalam membantu pengembangan MAHB.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu mengenai keputusan penjualan saham MAHB kepada GIP, Anwar berkata soal penjualan itu tidak berbangkit memandangkan pemilikan majoriti saham kekal milik pemain negara.

“Ini berbeza dengan naratif di luar. Naratif di luar seolah-olah penjualan tetapi tidak. Selama ini, syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

“Apakah kita ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak. Ini hanya melibatkan pengurusan dan MAHB hanya syarikat yang menguruskan lapangan terbang. Lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia,” kata Anwar.

Beliau juga melihat terdapat keperluan mendesak kepada pelaburan besar berjumlah RM10 bilion hasil daripada pengambilalihan saham bagi pengembangan MAHB.

Ini juga membolehkan Khazanah dan KWSP melabur dananya dalam sektor kritikal lain yang memerlukan penekanan.

GIP juga telah bekerjasama KWSP dan syarikat-syarikat Malaysia yang lain sejak 2012.

GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

Blackrock pula mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion serta RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan