EKONOMI > BERITA

MIDA, MPMA BEKERJASAMA PACU USAHA KITAR SEMULA PLASTIK

26/06/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) bekerjasama bagi memacu industri plastik serta aspek bekalan sumber kitar semula bahan itu yang penting dalam usaha penyahkarbonan.

Dalam kenyataannya hari ini, MIDA berkata usaha berterusannya dan MPMA dijangka terus mendorong kemajuan Malaysia melibatkan industri plastik, sekali gus memastikan komitmen dan inovasi yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pertumbuhan dan transformasi industri plastik di Malaysia adalah memberangsangkan dan jelas membuktikan komitmen negara dalam inovasi dan kemampanan. 

“Sejajar usaha ke arah ekonomi kitaran, kita menyaksikan peningkatan ketara dalam aktiviti kitar semula yang turut  mewujudkan pasaran baharu untuk teknologi kitar semula yang maju. 

"Kemajuan berterusan kami dalam sektor ini adalah bukti dedikasi Malaysia terhadap pengawasan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Malaysia komited untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya dalam kenyataan itu. 

Sementara itu, Presiden MPMA CC Cheah berkata cabaran utama dihadapi industri itu adalah realiti yang mana kebanyakan plastik itu perlu dilupuskan selepas digunakan.

“MPMA baru-baru ini telah mencadangkan agar Pelan Induk Keberkecualian Plastik diwujudkan yang berkaitan aspek pimpinan pemikiran bagi memacu sifar plastik sehingga ke tapak pelupusan sampah menjelang 2050.

“Di Malaysia misalnya, pencapaian kitaran plastik dan keberkecualian itu menimbulkan beberapa cabaran. Oleh itu, pelan induk ini menangani cabaran dengan menggalakkan pendekatan pelbagai aspek, melibatkan pembaharuan dasar, pelaburan dalam infrastruktur, kempen pendidikan awam dan kerjasama pihak berkepentingan di sepanjang rantaian nilai plastik," katanya.

Cheah berkata pelan induk itu turut mengukuhkan komitmen industri dalam menangani kebimbangan berkaitan plastik menerusi kitaran plastik, mendorong pelepasan kitaran hayat kepada sifar bersih dan memupuk penggunaan plastik yang lestari.

Malah, bersandarkan kepentingan itu, MIDA dan MPMA menganjurkan Persidangan MIDA-MPMA Berkaitan Mudahcara dan Bantuan Kerajaan bagi Ekonomi Kitaran dan Karbon Rendah di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Persidangan sehari yang disertai kira-kira 100 peserta itu diadakan bagi berkongsi maklumat berkaitan pelbagai dasar kerajaan, kemudahan dan bantuan untuk sektor pembuatan, khususnya industri plastik.

Acara itu turut mengetengahkan sesi melibatkan penceramah daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Bursa Carbon Exchange, Alliance Bank sert Argus Media.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan