EKONOMI > BERITA

PBA HOLDINGS JANGKA PRESTASI LEBIH BAIK PADA MASA DEPAN

27/06/2024 05:24 PM

GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) -- Kenaikan kadar tarif air akan meletakkannya pada kedudukan yang lebih baik untuk membiayai projek air yang diperlukan segera bagi memenuhi permintaan terhadap air yang meningkat di Pulau Pinang, menurut PBA Holdings Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, K. Pathmanathan berkata kadar baharu sebanyak 0.86 sen setiap meter padu (m3) untuk penggunaan bulanan sehingga 35 m3 akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat dan memberikan lebih banyak dana untuknya melaksanakan projek kejuruteraan bekalan air utama.

“Ini akan meletakkan kami pada kedudukan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) PBA Holdings di sini hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, PBA Holdings mengarahkan anak syarikat utamanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk “bergerak ke hadapan” bagi memenuhi permintaan terhadap air di Pulau Pinang.

Pathmanathan juga Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP.

“Dalam menghadapi permintaan terhadap air yang semakin meningkat, pembangunan infrastruktur bekalan air tambahan di Pulau Pinang tidak boleh ditangguhkan.

“Jika PBAPP tidak bergerak ke hadapan, rakyat dan perniagaan di Pulau Pinang akan menanggung kesan daripada kekurangan air lagi,” menurut kenyataan itu.

Katanya penggunaan air di Pulau Pinang mencapai paras tertinggi sebanyak 927 juta liter sehari (MLD) pada Februari 2024 dan diunjurkan mencecah 1,532 MLD menjelang 2030. 

Oleh itu, PBAPP perlu memberikan tumpuan kepada menyiapkan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 dan projek strategik lain tepat pada masanya. 

Menurut kenyataan itu, PBAPP “kini perlu memberikan keputusan yang diperlukan" antara 2024 dan 2028 untuk mengelak kekurangan air yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Dr Mary Ann Harris berkata walaupun prospek perniagaannya kukuh selepas kadar baharu, pendapatan dijangka sederhana berikutan tanpa bil untuk 10,000 liter pertama bagi pengguna domestik.

Dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham telah diumumkan. Tarikh kelayakan ialah 15 Julai dengan unjuran jumlah pembayaran sebanyak RM5.79 juta pada 26 Julai 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan