EKONOMI > BERITA

MISI EKSPORT SME BANK 2024 ATASI SASARAN, RAIH POTENSI JUALAN US$15 JUTA

28/06/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- SME Bank Malaysia meraih potensi jualan berjumlah US$15 juta pada Misi Pecutan Eksport (EAM) keempatnya untuk 2024 di Amerika Syarikat (AS).

SME Bank berkata acara itu, yang berlangsung serentak dengan Summer Fancy Food Show 2024 di Javits Centre di New York, melebihi sasaran awal untuk EAM 2024 sebanyak US$10 juta, serta menerima pertanyaan daripada pengedar dan kedai rangkaian di seluruh AS.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SME Bank Datuk Aria Putera Ismail berkata sejak penubuhannya pada 2020, EAM menyaksikan penyertaan 80 syarikat, mencapai hasil eksport yang luar biasa sebanyak RM187.68 juta setakat Disember 2023.

"Luar biasanya, terdapat peningkatan hasil eksport sebanyak RM74.56 juta dalam tempoh yang sama. Kejayaan program ini dapat dilihat dengan jelas, melalui 35 syarikat berjaya menembusi pasaran eksport baru termasuk Maldives, Australia, UK, Qatar, dan AS.

"Selain itu, 13 syarikat telah memperoleh pembiayaan baharu atau tambahan sebanyak RM143.95 juta, menyumbang kepada pembentukan 10 pengeksport baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bank itu, pada acara berkenaan kira-kira 3,000 pembeli dan pelawat dari Amerika Utara, Amerika Selatan, dan Eropah melawat reruai tersebut.

Hampir 200 pembeli yang berminat telah direkodkan, dengan 55 peratus daripada mereka adalah pembeli sah. Antara pembeli ini, 52 peratus adalah pengedar, pemborong dan peruncit.

Menampilkan 11 syarikat daripada Program Eksport Perniagaan (BEP) dalam industri makanan dan minuman, SME Bank menyasarkan untuk melengkapkan peserta BEP ini dengan bimbingan khusus daripada Enescorp International LLC, penyambung pasaran yang berpengalaman.

Bantuan ini bertujuan untuk membantu mereka menavigasi landskap pasaran AS yang mencabar dan memperkenalkan perisa tempatan kepada pengguna Amerika.

Dengan memanfaatkan inisiatif seperti BEP dan EAM, SME Bank menggesa lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengambil peluang untuk menerokai pasaran AS bagi memacu kejayaan perniagaan mereka.

Bank itu juga berkata dengan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), EAM ialah platform untuk PMKS dalam BEP untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif mereka di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan