EKONOMI > BERITA

EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA CAPAI SASARAN PERTUMBUHAN, KDNK BERKEMBANG 4.0-4.5 PERATUS

28/06/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka mencapai sasaran pertumbuhannya, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Katanya faktor positif yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan adalah daripada potensi pelaksanaan projek yang lebih cepat di bawah pelbagai pelan pembangunan.

“Bagaimanapun, mengekalkan pertumbuhan perbelanjaan swasta berdepan dengan cabaran daripada jangkaan pengguna terhadap inflasi yang tinggi berikutan rasionalisasi subsidi yang berterusan,” katanya dalam kenyataan susulan laporan Mid-year Macroeconomic Outlook 2024: Stable Global Growth In A Moderate Easing Cycle dikeluarkan hari ini.

Menurut MARC, walaupun sektor pelancongan mencatatkan pertumbuhan yang tinggi dalam tempoh empat bulan pertama 2024, mengekalkan prestasi itu memerlukan penambahbaikan dalam dasar pelancongan yang berterusan berikutan persaingan sengit daripada negara-negara ASEAN.

Selain itu, katanya trend disinflasi Malaysia telah berakhir walaupun kadar inflasi kekal sederhana, dengan inflasi pada suku pertama 2024 naik kepada 1.8 peratus daripada 1.5 peratus pada suku keempat 2023.

“Kami menjangka inflasi pada 2.5 peratus hingga 3.0 peratus dengan pusingan kedua kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi dan dasar sedemikian dirangka dengan kaedah yang mengehadkan tahap varian inflasi,” katanya.

Selain itu, MARC berkata ketidaktentuan geopolitik meningkatkan risiko kepada inflasi, selain turun naik harga komoditi dan kenaikan kos melalui rantaian bekalan.

Bagaimanapun, ia berpendapat inflasi dan pertumbuhan yang mampan di Malaysia akan membolehkan Bank Negara Malaysia mempunyai skop untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada 2024.

Menurut MARC, pertumbuhan ekonomi global dijangka mengekalkan tahap sederhana pada 2024, dengan unjuran pertumbuhan negara-negara Eropah maju kekal stabil walaupun terdapat kelemahan yang berterusan.

“Ekonomi AS yang kukuh dijangka mengurangkan kadar penurunan kadar dasar, yang berpotensi membawa kepada pelonggaran dasar monetari global yang tidak seiring berbanding beberapa bank pusat di Eropah yang telah mula menurunkan kadar.

“Bacaan inflasi yang bercampur-campur secara berterusan, terutamanya di AS, telah membawa kepada pengurangan jangkaan penurunan kadar faedah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan