EKONOMI > BERITA

GLYKEN AKAN HASILKAN PRODUK SARANG BURUNG WALET BERNILAI RM25 JUTA SETAHUN - CHANG

29/06/2024 03:32 PM

ISKANDAR PUTERI, 29 Jun (Bernama) -- Pusat bioteknologi baharu milik syarikat pengeluar produk berasaskan sarang burung walet Glyken International Bhd (Glyken) di Kawasan Perindustrian SILC di sini akan menghasilkan pelbagai produk bermutu tinggi dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM25 juta setahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pusat berkeluasan 29,220 kaki persegi dengan fasiliti serba canggih itu berjaya dibangunkan berikutan sokongan dan kerjasama Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

"Johor khususnya Iskandar Puteri sememangnya sesuai sebagai pusat penubuhan kemudahan bioteknologi bersepadu. Saya difahamkan bahawa produk berasaskan sarang burung walet Glyken mendapat permintaan yang laris dari negara luar seperti Singapura, China, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

"Dengan adanya pembangunan infrastruktur maju selain ekosistem penyelidikan dan pembangunan aktif serta lokasi yang strategik berhampiran Singapura dan pelabuhan utama, pastinya Johor akan menjadi antara penyumbang utama industri sarang burung walet negara," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Fasiliti Glyken di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bioeconomy Corporation Datuk Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pegawai Eksekutif Glyken, Eric Shak.

Chang berkata menerusi pusat bersepadu bernilai RM6.6 juta yang siap pada suku keempat 2023, Glyken dapat menjalankan penyelidikan berterusan sekali gus menyepadukan teknologi Industri Revolusi 4.0 dengan aplikasi bioteknologi dalam proses pembuatan.

Menurut beliau melalui pusat itu juga, Glyken mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 10 jenis produk berasaskan sarang burung walet seperti sarang burung mentah, ekstrak peptida glikonanoprotein, minuman botanikal sarang burung, longan dan ginseng serta minuman kopi, matcha, mocha dan teh.

"Komitmen Glyken akan menyokong pertumbuhan industri sarang burung walet negara yang menyasarkan pasaran eksport produk komoditi itu sebanyak 350,000 kilogram yang bernilai RM2.8 bilion menjelang 2030," kata Chang.

Sementara itu, Lee memberitahu Bernama, menerusi platform pemasaran berasaskan kod QR (respons pantas) yang dilancarkan hari ini, Bioeconomy Corporation yakin kebolehcapaian produk berkenaan sehingga 500,000 pengguna sepanjang tahun ini.

Menurutnya ini secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai usahawan bioteknologi mempromosikan produk mereka menggunakan platform digital termasuk usahawan sarang burung walet kecil-kecilan yang lain.

"Malah kejayaan Glyken menerusi kerjasama yang dijalin dengan agensi kerajaan akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara termasuk menyediakan peluang pekerjaan yang akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya.

Shak pula berkata, sokongan daripada MOSTI dan Bioeconomy Corporation memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Glyken terutama dalam pembangunan produk melalui pelbagai platform tempatan dan antarabangsa seterusnya membawa industri sarang burung walet negara menuju pendekatan 'deep technology.'

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan