EKONOMI > BERITA

TM METERAI PERJANJIAN NEXT GENERATION EMERGENCY SERVICES 999 BERNILAI RM1.25 BILION

01/07/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd, TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech) menandatangani perjanjian dengan kerajaan yang diwakili Kementerian Komunikasi untuk melaksanakan perkhidmatan talian kecemasan Next Generation Emergency Services 999 (NG999) bernilai RM1.25 bilion, pada Isnin.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TM menjelaskan perjanjian NG999 itu adalah kesinambungan daripada Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) sedia ada, dengan semua nombor talian kecemasan disepadukan dengan satu nombor, 999.

Menurutnya NG999 akan menjadi platform digital strategik untuk orang ramai mengakses perkhidmatan talian kecemasan yang ditawarkan oleh lima agensi kecemasan utama di seluruh negara.

Agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) and Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Platform ini juga menyepadukan pusat respons yang dikendalikan oleh TM Tech dengan pusat kawalan dan operasi agensi kecemasan,” tambahnya.

NG999 bermula tahun ini dengan tarikh kuat kuasa akan ditentukan oleh kerajaan, selama 12 tahun sehingga 2036.

Perkhidmatan yang akan disediakan mengikut perjanjian NG999 itu terdiri daripada perkhidmatan pengurusan panggilan, perkhidmatan infrastruktur dan platform, perkhidmatan kesambungan, perkhidmatan sokongan NG999, penambahbaikan berterusan NG999 dan perkhidmatan tambahan NG999 lain atas permintaan kerajaan.

“Perjanjian NG999 dijangka tidak menjejaskan pendapatan disatukan dan aset bersih TM Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

“Tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar jangka, perjanjian itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih masa depan TM Group sepanjang tempoh kontrak,” jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan