EKONOMI > BERITA

SARAWAK TIADA HASRAT RAMPAS HAK PETRONAS - ABANG JOHARI

01/07/2024 10:04 PM

KUCHING, 1 Julai (Bernama) -- Sarawak tidak berhasrat untuk merampas hak Petronas sebaliknya menganggap syarikat itu sebagai rakan kongsi dalam industri minyak dan gas (O&G) negara, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata segala usaha yang dilaksanakan Sarawak dalam industri O&G terutama menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros) adalah berlandaskan hak dan undang-undang sedia ada. 

“Kami tidak mengambil hak orang. Kami menguruskan (perniagaan kami) berdasarkan hak kami. Kami bekerja secara harmoni.

“Kami bekerjasama berdasarkan undang-undang kami, dalam parameter hak undang-undang kami. Saya mahu jelaskan perkara ini kerana banyak di media sosial menuduh Sarawak merampas hak Petronas,” katanya semasa berucap pada majlis penghargaan vendor industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas Datuk Bacho Pilong berkata Petronas komited menjadi rakan strategik Sarawak untuk bersama-sama memacu pertumbuhan dan kelestarian sektor OGSE di Sarawak.

“Sejak 2020, kami telah menyaksikan trend meningkat bagi projek yang diberikan kepada vendor Sarawak, dan kami optimis untuk mencapai sasaran kami pada 2024.

“Sehingga Februari tahun ini, jumlah nilai projek yang diberikan kepada vendor Sarawak sebanyak RM37.41 bilion, dengan RM22.62 bilion diberikan dalam negeri itu sendiri,”  katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan