EKONOMI > BERITA

TAIWAN MAHU KERJASAMA MALAYSIA LONJAK INDUSTRI BAHAN BANGUNAN HIJAU

04/07/2024 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Taiwan mahu bekerjasama dengan peserta industri Malaysia untuk membina ekosistem bahan bangunan hijau yang berdaya tahan.

Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang berkata sektor pembuatan Malaysia, dipacu oleh industri pemprosesan berorientasikan eksport yang teguh, menyumbang sebahagian besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menghadapi tekanan untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

“Bagi tujuan ini, kami gembira untuk mengetengahkan produk inovatif di Taiwan Excellence Pavilion,” katanya ketika berucap merasmikan Taiwan Excellence Pavilion pada Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bahan Binaan Antarabangsa Malaysia (ARCHIDEX) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan mencecah US$8.8 bilion pada suku pertama tahun ini, menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 (US$1 = RM4.70).

Antara pempamer, E-Ink Holdings Inc, menyasar untuk menembusi pasaran Malaysia dengan paparan serba boleh untuk eReader, runcit, penjagaan kesihatan, logistik dan banyak lagi.

Produk paparan elektroforesis syarikat itu merevolusikan ePaper sekali gus membantu usaha kemampanan dengan penggunaan kuasa yang rendah.

Pengarah Kanan Pemasaran Produk E-Ink Albert Liang berkata pihaknya sedang berusaha untuk mencari rakan kongsi dan pengilang tempatan.

“Kami akui pereka Malaysia sangat kreatif, dan kami berharap dapat mencari pereka untuk bekerja dengan kami. Kami juga sedang mencari rakan kongsi pembuatan untuk mereka bentuk dengan ePaper,” katanya.

Syarikat itu mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Amerika Syarikat, Taiwan, China dan Jepun serta kemudahan pembuatan di Taiwan dan Jepun.

Taiwan Excellence Pavilion menampilkan 21 produk hijau daripada 11 syarikat yang memenangi anugerah, bertujuan mewujudkan era baharu kerjasama mampan dua hala antara Taiwan dan Malaysia.

Pavilion itu dianjurkan bersama Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (TITA), Biro Perdagangan Luar Negara serta Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA).

Tahun ini, dengan tema Greener Together, TITA dan TAITRA menampilkan reka bentuk pavilion inovatif yang menonjolkan imej Taiwan sebagai negara pergunungan dan hutan.

Acara itu bermula hari ini dan berlangsung sehingga Sabtu.

Menerusi konsep kitar semula, guna semula dan mengurangkan, penganjur menggunakan bahan boleh kitar semula secara kreatif seperti penerobosan aluminium digabungkan dengan kanvas lut udara dalam reka bentuk reruai, mengurangkan pembaziran tanpa mengetepikan estetika.

Produk E-Ink, PRISM ePaper, yang digabungkan ke dalam reka bentuk, menyediakan paparan dinamik untuk logo dan aset visual lain, mewujudkan tarikan visual untuk Taiwan Excellence Pavilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan