EKONOMI > BERITA

BNM DIJANGKA KEKAL OPR 3.0 PERATUS KHAMIS INI - STANCHART SINGAPORE

09/07/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.0 peratus dalam mesyuarat dasar monetarinya yang akan datang pada 11 Julai, walaupun dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini, kata Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd (StanChart Singapura).

Bagaimanapun, katanya ia akan memantau sebarang perubahan terhadap prospek inflasi BNM berikutan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun.

“Anggaran awal kami adalah impak sederhana 0.1 mata peratusan (ppt) terhadap inflasi berikutan ciri pemotongan subsidi yang disasarkan.

"Bagaimanapun, kami akan memerhati kesan pusingan kedua, terutama memandangkan mungkin terdapat rasionalisasi subsidi yang seterusnya dalam keadaan pemulihan pertumbuhan Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan global hari ini.

StanChart Singapore berkata ia juga akan memantau perubahan dari segi penilaian BNM terhadap ringgit selepas bank pusat itu menerusi nota pada Mei berkata "ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia."

Pada 9.05 pagi, ringgit tidak berubah pada 4.7070/7130 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7065/7110 semasa ditutup pada Jumaat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan