EKONOMI > BERITA

MALAYSIA FEST 2024 PAMER PRODUK TEMPATAN DI SINGAPURA MULAI 25 JULAI

09/07/2024 09:11 PM

SINGAPURA, 9 Julai  (Bernama) -- Ekspo Malaysia Fest 2024 mulai 25 hingga 28 Julai di pusat konvensyen dan pameran EKSPO Singapura akan mempamerkan pelbagai produk makanan, fesyen, kecantikan dan pelancongan negara ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Aminuddin Zulkipili berkata pesta itu, anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Fama, dengan kerjasama MegaXpress International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, akan menempatkan lebih 300 gerai.

“Fama akan mempromosikan produk pertanian bagi meningkatkan angka eksportnya,” katanya pada majlis pra- melancarkan publisiti ekspo tersebut di sini hari ini. Ia akan membawa lebih 20 tan buah-buahan bermusim serta 2,000 unit produk segar dan diproses.

“Penawaran unik kali ini akan merangkumi aiskrim Harumanis Mokti’s, buah-buahan tropika Borneo seperti longan kristal, tarap dan bambangan serta buah-buahan nadir seperti rambai, kundang dan gucil,” katanya.

Dalam edisi ketujuhnya yang bertemakan “Terokai Permata Malaysia”, ia menyasarkan untuk menjana jualan langsung sebanyak RM12 juta selain menarik 120,000 pengunjung, kata Aminuddin.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar memberitahu acara tersebut pada tahun lepas telah merekodkan kedatangan 135,000 pengunjung dan menjana jualan RM17.8 juta, melepasi sasaran penganjur.

“Tahun lepas, buat pertama kalinya, kami melancarkan segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B); yang mana Usahawan Malaysia berpeluang bertemu rakan-rakan di Singapura dan hasilnya amat memuaskan hati.

“Malaysia Fest terus menjadi tumpuan warga Singapura bagi mendapatkan produk Malaysia. Kami berharap kami akan dapat melepasi sasaran kami tahun ini,” katanya sambil menambah bahawa sebahagian daripada keuntungan akan disalurkan ke Masjid Al-Amin Singapura.

Azfar berkata Malaysia Fest 2024 akan menampilkan program “Cashless Lah Boss”, selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mempromosikan pembayaran tanpa tunai rentas sempadan.

Pelawat perlu membuat pembelian minimum S$20 (S$1=RM3.48) dengan menggunakan Kod QR DuitNow untuk berpeluang memenangi sama ada wang tunai, pakej percutian di Malaysia atau barangan elektronik dengan nilai keseluruhan S$10,000 di bawah program itu, yang dibuat dengan kerjasama PayNet.

MegaXpress International, dalam satu kenyataan berkata ekspo tahun ini akan memaparkan astaka Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak serta dari Tourism Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Fama.

Selebriti termasuk ikon Malaysia seperti penyanyi dan ahli perniagaan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga akan menyertai acara itu.

Program lain yang turut disusun merangkumi demonstrasi memasak, ceramah interaktif Islamik dan aktiviti yang dianjurkan oleh Masjid Al-Amin, pertandingan serta persembahan penyanyi Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan