EKONOMI > BERITA

MIDF AMANAH KEKAL POSITIF TERHADAP SEKTOR HARTANAH

10/07/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bhd kekal positif terhadap sektor hartanah kerana data permohonan pinjaman yang lebih baik menunjukkan minat belian lebih kukuh.

MIDF Amanah dalam nota penyelidikan berkata permohonan pinjaman yang semakin meningkat seharusnya menyokong prospek pendapatan pemaju.

"Kami berpendapat minat belian lebih kukuh disokong oleh jumlah kediaman tidak terjual lebih rendah di Malaysia, prospek harga rumah stabil dan prospek ekonomi yang bertambah baik untuk Malaysia," katanya.

MIDF Amanah memilih Mah Sing Group sebagai pilihan utama untuk sektor itu, menetapkan saranan ‘beli’ terhadap saham pemaju hartanah dengan harga sasaran (TP) RM1.97 disebabkan pendedahannya yang tinggi kepada segmen kediaman mampu milik, disokong oleh permintaan pembelian kukuh.

Mah Sing terus mengembangkan simpanan tanahnya, dijangka akan mengekalkan pertumbuhan jualan dan pendapatan baharunya, selain itu usaha pemaju hartanah ke dalam pusat data akan memberikan pendapatan berulang dalam tempoh jangka panjang.

“Sementara itu, kami positif terhadap Matrix Concepts dengan saranan ‘beli’ (TP RM2.05) disebabkan jualan berdaya tahan dari perbandaran Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan yang disokong oleh permintaan untuk rumah bertanah mampu milik,” katanya.

MIDF Amanah berkata Matrix Concepts terus mengembangkan simpanan tanahnya di Labu yang akan merangsang pertumbuhan pendapatan melepasi jumlah dicatatkan pada tahun kewangan 2027 dan menawarkan hasil dividen menarik diunjurkan pada 5.7 peratus.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM58.5 bilion pada Mei 2024 berikutan pertumbuhan naik 15 peratus tahun ke tahun pada April 2024 .

Pada asas bulanan, jumlah permohonan pinjaman pada Mei 2024 merekodkan pertumbuhan dua angka pada 10.5 peratus bulan ke bulan, meningkat ke paras tertinggi sejak April 2023.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan