EKONOMI > BERITA

TIADA SEBARANG PENINGKATAN KOS KETARA BAGI PEMBINAAN PROJEK RTS LINK - MOF

10/07/2024 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan menjangkakan tiada sebarang peningkatan kos yang ketara bagi projek infrastruktur Rapid Transit System Link (RTS Link) sehingga tamat tempoh pembinaannya memandangkan projek itu berada dalam fasa akhir pembinaan. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata fasa pembinaan projek RTS Link dijangka siap pada Disember 2024 kecuali kerja-kerja pembinaan fakad di stesen Bukit Chagar yang akan diteruskan sehingga 2026. 

“Semua kontrak kerja juga telah dianugerahkan,” katanya ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata operasi RTS Link akan dikendalikan secara komersial oleh RTSO Pte Ltd, syarikat usaha sama antara Prasarana dan SMRT Singapura.

Justeru, tambang perjalanan RTS perlu ditetapkan pada kadar yang munasabah dan berpatutan berdasarkan kemampuan pengguna selain memastikan kemampuan untuk menampung keperluan operasi laluan, katanya.

Menurut LKAN 2/24 yang dikeluarkan pada 4 Julai lepas, anggaran kos infrastruktur projek RTS Link meningkat 29.9 peratus atau RM1.207 bilion kepada RM5.245 bilion setakat 31 Dis, 2023, berbanding dengan RM4.038 bilion mengikut anggaran kos asal pada Januari 2018.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik kira-kira sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, merangkumi laluan di antara dua stesen iaitu Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North, Singapura.

Mengenai kebergantungan MRT Corporation (MRT Corp) terhadap kerajaan, Lim berkata kerajaan sedang meneliti kaedah pajakan untuk komponen sistem rel termasuk gerabak bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan pada masa depan.

“MRT Corp merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan khusus bagi melaksanakan projek infrastruktur rel. Justeru, kos pembinaan struktur sivil lazimnya akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan