EKONOMI > BERITA

ACER MALAYSIA LANCAR KOMPUTER RIBA TRAVELMATE AI BAGI TINGKATKAN PRODUKTIVITI

10/07/2024 06:05 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Acer Malaysia hari ini melancarkan siri komputer riba TravelMate yang dilengkapi dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) termaju untuk meningkatkan produktiviti sambil mengekalkan prestasi yang lebih baik untuk ahli-ahli profesional dan perniagaan.

Komputer riba berkenaan, iaitu Acer TravelMate P6 14, TravelMate P4 14, TravelMate P4 Spin 14, dan TravelMate P2 14 turut dilengkapi dengan ciri-ciri TravelMate Sense yang berfungsi sebagai pusat kawalan komprehensif untuk memantau dan mengoptimumkan peranti mereka mengikut keperluan produktiviti.

Pengurus Besar Produk, Jualan dan Pemasaran Acer Malaysia Chan Weng Hong berkata siri Acer TravelMate itu mempunyai ciri-ciri komersial yang menonjol berbanding jenama lain, yang mana ia juga memberi tumpuan kepada keselamatan dan privasi pengguna komersial.

"Memandangkan AI sedang berkembang dengan sangat pantas, banyak perisian di pasaran tidak diperakui sepenuhnya, dan orang ramai bimbang tentang keselamatan.

"Kami menekankan perkara ini untuk memastikan terdapat keselamatan privasi supaya keserasian perisian baharu yang dibangunkan akan berfungsi dengan baik bersama peranti tersebut, supaya pengguna komersial dapat melancarkan aplikasi tanpa bimbang," katanya kepada Bernama selepas melancarkan siri Acer TravelMate di sini, hari ini.

Chan juga berkata pada masa depan produk-produk syarikat tersebut akan dilengkapi dengan teknologi canggih seperti AI kerana ciri-ciri itu menawarkan banyak kelebihan.

"Kami sangat teruja dengan perkembangan AI kerana kami baru sahaja mengetahui sedikit tentangnya. Terdapat banyak perkara yang AI boleh lakukan. Ia bertindak seperti pembantu untuk meningkatkan produktiviti kerja anda dan membantu untuk berfungsi dengan lebih baik," katanya.

Acer TravelMate P6 14 berharga RM7,999 dan RM7,599 untuk pilihan skrin tanpa sentuhan, manakala Acer TravelMate Spin P4 14 berharga RM6,199, Acer TravelMate P4 14 (RM4,799), dan TravelMate P2 14 berharga daripada RM3,799 hingga RM4,799.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan