EKONOMI > BERITA

IATA GIAT RAIH SOKONGAN GLOBAL BAGI LONJAK PENGELUARAN BAHAN API MAMPAN

16/07/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sedang giat mendapatkan sokongan daripada pihak berkepentingan di serata global bagi meningkatkan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

Pengurus Wilayah Asia Tenggara IATA Yuli Thompson berkata usaha itu penting bagi mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Di sebalik unjuran peningkatan pengeluarannya, penggunaan SAF kekal rendah berbanding jumlah penggunaan bahan api dalam industri penerbangan.

“Industri itu menyasarkan pengeluaran SAF meningkat sebanyak tiga kali, mencecah 1.9 bilion liter berbanding 2023. Jumlah itu hanya menyumbang 0.53 peratus daripada keseluruhan penggunaan bahan api penerbangan,” katanya pada acara Simposium Penerbangan Mampan MyAero 2024 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan melipatgandakan tahap pengeluaran daripada jumlah semasa biarpun usaha berkenaan dilihat sukar.

“Atas alasan ini, kita memerlukan pihak berkepentingan untuk turut sama berganding bahu selain dasar bersesuaian bagi menyokong langkah menambah skala pengeluaran SAF,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan sebagai pengguna utama bahan api, juga sentiasa berusaha mendapatkan bahan api pada harga rendah.

Pendekatan mengutamakan kos itu hanya membuktikan kepentingan menjadikan SAF berdaya saing dari segi ekonomi selain mampu berdaya saing dengan bahan api penerbangan konvensional, katanya.

Malah, seiring dengan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran SAF, Yuli berkata IATA turut meminta syarikat penerbangan untuk berkongsi data yang dihubungkan dengan platform Co2 Connect IATA dan dengan kalangan penggiat dalam rantaian nilai pihak berkepentingan.

“Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan kaedah yang seragam selain menjejaki kemajuan jejak karbon. Kita juga dalam proses mengeluarkan metodologi perakaunan dan pelaporan berkaitan pengurangan pelepasan SAF pada September atau Oktober tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, IATA berkata kira-kira 140 projek bahan api boleh baharu dalam keupayaan mengeluarkan SAF, telah mengumumkan akan terbabit dalam kegiatan berkenaan menjelang 2030.

Menurut IATA, jika kesemua usaha itu dapat dimajukan ke peringkat pengeluaran sebagaimana diumumkan, kapasiti pengeluaran bahan api boleh baharu boleh mencapai 51 juta tan menjelang 2030 manakala kapasiti pengeluaran diperluas ke hampir semua wilayah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan