EKONOMI > BERITA

RAKUTEN TRADE JANGKA FBM KLCI CECAH PARAS 1,730 MENJELANG AKHIR TAHUN

17/07/2024 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguji paras 1,730 menjelang akhir tahun ini berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 16.5 kali pada pertumbuhan pendapatan 16 peratus. 

Terdahulu, firma penyelidikan itu menjangkakan indeks utama itu mencecah paras 1,660 menjelang akhir tahun.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata unjuran yang disemak semula menaik itu disokong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik dan peningkatan jumlah dagangan harian.

“Saya fikir ini akan menarik lebih ramai pelabur memasuki pasaran. Oleh itu, tidak mustahil untuk indeks tersebut mencecah paras 1,700,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media maya mengenai ‘Tinjauan Pasaran Malaysia Pada Suku Ketiga: Adakah Kecairan Pasaran Meningkat?’ di sini, hari ini.

Mengulas mengenai aliran semasa pasaran, Yee berkata walaupun pasaran menunjukkan petanda yang semakin bertambah baik, namun ia belum mencapai peningkatan sepenuhnya. 

Menurutnya, peningkatan jumlah dagangan di pasaran tempatan itu adalah satu penunjuk positif tetapi beliau menegaskan perlu untuk menarik minat pelabur yang lebih pelbagai melangkaui saham mewah tradisional.

"Momentum semasa menunjukkan kita sedang bersiap sedia dan bukannya memecut kehadapan,” katanya sambil menekankan kepentingan aliran berita positif yang berterusan dan pelaburan lebih meluas merentas sektor.

Beliau terutamanya menekankan kepentingan sektor perbankan, menyifatkannya sebagai "enjin pertumbuhan negara" sambil menyatakan saham perbankan masih berada pada harga yang berpatutan.

Terdahulu, semasa taklimat tersebut Yee mengetengahkan trend ketara prestasi pasaran di seluruh Asia Tenggara.

“Malaysia dan Vietnam mendahului setakat ini, berbanding negara-negara lain di rantau ini,” katanya.

Menurut data Rakuten Trade, prestasi FBM KLCI Malaysia setakat tahun ini meningkat sebanyak 11.7 peratus, seiring dengan Indeks Bursa Saham Filipina (+2.3 peratus), Indeks Straits Times Singapura (+7.3 peratus) dan Indeks Saham Ho Chi Minh Vietnam (+14 peratus).

Mengenai aliran dana, Yee berkata tahun lepas, keseluruhan aliran dana sebahagian besarnya ditentukan oleh aliran dana asing manakala pegangan saham asing meningkat secara konsisten sejak 2021 apabila ia mencecah paras terendahnya pada 11.35 peratus di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19 dan kegawatan politik. 

“Mundar maju ke 2024, kami melihat peningkatan ketara dalam pegangan saham asing susulan iklim politik dan persekitaran perniagaan yang lebih stabil.

“Oleh itu, kami yakin pegangan saham asing mungkin melepasi ambang 20 peratus dan menguji paras 25 peratus, terutamanya kini Malaysia mencatatkan prestasi yang memberangsangkan di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Yee berkata kecairan domestik semakin bertambah baik kemungkinan besar disokong oleh pemindahan dana daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kembali ke Malaysia.

Beliau berkata setakat ini bagi tahun ini purata jumlah dagangan harian berjumlah 4.6 bilion, melepasi purata 10 tahun pada sekitar 3.8 bilion saham.

“Dianggarkan enam GLIC teratas kita secara terkumpul mengurus hampir RM1.9 trilion, dan diandaikan 10-15 peratus (atau RM190 bilion-RM285 bilion) daripada jumlah itu dilaburkan dalam ekuiti asing.

“Penghantaran balik dana ke Malaysia berpotensi menghasilkan suntikan antara RM20 bilion dan RM30 bilion ke dalam ekonomi domestik, yang seterusnya membantu mempengaruhi penunjuk ekonomi yang positif,” katanya.

Beliau berkata selain pusat data (DC), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dijadual dimuktamadkan menjelang September 2024 boleh memainkan peranan penting.

Mengenai ringgit, Yee berkata, mata wang tempatan itu dijangka boleh mengukuh kepada antara 4.50 dan 4.55 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun dengan jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah serta disokong oleh iklim pelaburan domestik yang bertambah baik.

“Saya menjangkakan penurunan kadar yang ketara di AS pada September seperti yang dijangkakan oleh semua pihak, tetapi selepas itu saya kurang pasti memandangkan pilihan raya presiden AS pada November. Jadi saya jangkakan ringgit mengukuh kepada sekitar 4.50-4.55,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan