EKONOMI > BERITA

PERNIAGAAN, ORGANISASI DISARAN TEROKA KETERSAMBUNGAN INTERNET ULTRA LAJU - GOBIND

17/07/2024 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa perniagaan dan organisasi di Malaysia meneroka peluang luas yang terdapat dalam ketersambungan Internet ultra laju selain mengambil langkah proaktif melindungi aset digital. 

Beliau berkata ketersambungan ultra laju menyediakan pelbagai faedah dan peluang kerana ketersambungan Internet yang pantas dan boleh dipercayai menjadi tulang belakang untuk pembangunan ekonomi.

"Internet ultra laju akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi merentasi semua industri  seperti e-dagang, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan dan perkhidmatan kerajaan.

“Perkhidmatan dan pengeluaran akan menjadi 10 kali lebih pantas atau lebih,” katanya pada pameran ketersambungan jalur lebar 10 Gigabit per saat yang pertama di Malaysia anjuran ViewQuest di sini hari ini.

Menteri itu berkata ketersambungan ultra laju itu memperlihatkan keupayaan dan manfaat termaju Internet 10 Gbps selain menjadi bukti kepada infrastruktur Internet di Malaysia yang pantas dan boleh dipercayai serta memberi kesan yang mengubah keadaan terhadap masa depan digital.

Beliau berkata untuk menyokong dan mengurus Internet ultra laju maka perlu ada pasukan sokongan teknikal terlatih serta profesional selain pakar yang berupaya menangani potensi risiko keselamatan siber.

Sementara itu, Gobind turut menyentuh mengenai Akta Keselamatan Siber diluluskan di Parlimen April lepas dan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang diluluskan semalam di Dewan Rakyat.

"Undang-undang dan dasar untuk melindungi semua pihak amat penting memandangkan teknologi digital semakin pesat berkembang.

"Kita perlu mewujudkan kepercayaan digital ekoran semakin banyak syarikat multinasional melabur di Malaysia, menubuhkan pusat data dan kemudahan digital untuk terus memacu ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan