EKONOMI > BERITA

VENTURETECH LABUR RM10 JUTA UNTUK MEREVOLUSIKAN OPERASI DALAM AIR SS ROVER

18/07/2024 09:14 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd melabur RM10 juta untuk mempercepatkan pembangunan sistem teleoperasi dan sistem armada berkembar digital bersepadu SS Rover Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan itu bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan teknologi dan mengembangkan kehadiran pasaran SS Rover, tetapi juga memangkin kemajuan di seluruh industri.

“Kami sangat teruja untuk menyokong pendekatan berwawasan SS Rover untuk merevolusikan operasi dalam air. Kepakaran dan penyelesaian inovatif mereka adalah sejajar dengan misi kami untuk memupuk inovasi teknologi dan memperkasakan syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi dalam sektor teknologi.

“Penyelesaian robotik dalam air SS Rover yang termaju akan memberi impak yang mendalam terhadap industri minyak dan gas luar pesisir, tenaga, telekomunikasi dan utiliti, dan kami tidak sabar-sabar memulakan perjalanan untuk pertumbuhan ini secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Redzuan berkata perkongsian itu menekankan keyakinan VentureTECH terhadap potensi SS Rover untuk menerajui penyelesaian robot dalam air di masa depan dan memupuk bakat tempatan melalui penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Ia mencerminkan komitmen kami untuk memberi kesan kepada pelaburan yang memacu perubahan masyarakat yang positif," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan SS Rover Syamsul Nizam Azmee berkata dengan sokongan VentureTECH, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi pemimpin kenderaan kendalian jarak jauh (ROV) dalam air dan merintis kemajuan ketara dalam industri berkenaan.

"Pelaburan daripada VentureTECH ini dijangka mempercepatkan penggunaan sistem teleoperasi inovatif kami dan meneruskan misi kami untuk menyampaikan penyelesaian robotik terkini kepada pelanggan kami," katanya.

SS Rover merupakan syarikat teknologi tempatan yang mengkhusus dalam perkhidmatan kejuruteraan, produk dan penyelesaian robotik untuk industri minyak dan gas luar pesisir, tenaga, telekomunikasi dan infrastruktur awam dalam air.

Dengan lebih dari 15 tahun pengalaman ROV dalam air dan latihan sistem robotik, SS Rover telah mengembangkan kepakarannya untuk merangkumi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (pengubahsuaian semula), dan operasi lapangan luar pesisir.

Hari ini, SS Rover berada di barisan hadapan dalam menyampaikan perkhidmatan kejuruteraan terkini dan penyelesaian robotik kepada pelanggannya yang pelbagai.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan