EKONOMI > BERITA

PARAS MELEBIHI 1,600 MATA, BURSA MALAYSIA DIJANGKA KEKAL MEMBERANGSANGKAN - MOF

18/07/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pasaran Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan susulan peningkatan keyakinan Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah yang turut membantu mengurangkan impak konflik Timur Tengah, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Malah, berdasarkan perkembangan terkini, asas pasaran Bursa Malaysia dilihat kekal kukuh dengan paras melebihi 1,600 mata.

MOF berkata keadaan itu turut disokong oleh kapasiti Bursa Malaysia yang mempunyai sistem kukuh dan mantap dalam memastikan proses penjelasan dan penyelesaian urus niaga saham dilakukan dengan lancar, berterusan serta berkesan.

“Bursa Malaysia akan terus mengawasi keadaan dengan teliti untuk memastikan integriti pasaran modal negara kekal utuh,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan Indeks Bursa Malaysia pada tahun ini serta kesan konflik perang di luar negara kepada peningkatan indeks itu.

Menjelaskan selanjutnya, MOF berkata momentum pelaburan langsung asing yang dilihat semakin meningkat, turut menyokong momentum pasaran modal dan menyumbang kepada aktiviti pasaran ekuiti.

Faktor makro yang turut menyumbang adalah penurunan kadar faedah di luar negara yang menggalakkan dana asing untuk beralih ke pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia.

“Berdasarkan prestasi ekonomi memberangsangkan, permodalan pasaran di Malaysia telah mencatatkan rekod baharu dengan pencapaian melebihi RM2 trilion (US$424 bilion) pada 7 Mei, 2024.

“Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) juga telah melepasi paras psikologi 1,600 pada tarikh sama, mencapai tahap tertinggi sejak tiga tahun lepas dengan penutupan di paras 1,628.18 mata pada 23 Mei, 2024,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan