EKONOMI > BERITA

SISTEM DAFTAR MASUK DAN TEMPAHAN UTAMA AIRASIA TERJEJAS AKIBAT ISU IT GLOBAL

19/07/2024 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) --  Sistem daftar masuk dan tempahan utama AirAsia terjejas oleh isu teknologi maklumat (IT) global, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu siaran media sosial.

“Anda mungkin mengalami daftar masuk yang lebih perlahan serta giliran yang agak panjang dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini. Kami menghargai kesabaran serta pemahaman anda pada masa ini,” katanya di platform X.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 4.52 petang itu menyusuli laporan berita global mengenai gangguan perkhidmatan awan Microsoft yang telah menjejaskan banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam platform yang sama mengumumkan gangguan Microsoft tidak menjejaskan rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia.

"Bagaimanapun, beberapa rakan kongsi syarikat penerbangan kami mengalami gangguan akibat isu ini," katanya.

MAHB sebelum ini berkata perkhidmatannya tidak menerima kesan akibat gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan yang meluas di Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa lapangan terbang di Australia.

AirAsia kemudiannya menambah walaupun syarikat penerbangan itu mengalami gangguan sistem dalaman, ia tidak membatalkan mana-mana penerbangan.

Difahamkan penerbangan Malaysia Airlines juga tidak terjejas.

Walaupun tiada pembatalan setakat ini, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan global masih boleh memberi impak ke atas penerbangan Malaysia Airlines.

Bagaimanapun, masalah tersebut telah menganggu sistem daftar masuk dalam talian dan tempahan Firefly.

Di Singapura, proses daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi sedang diuruskan secara manual disebabkan gangguan sistem IT global itu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menghentikan penerbangan dari beberapa syarikat penerbangan utama AS termasuk Delta, United dan American Airlines. Semua lapangan terbang Sepanyol turut terjejas, malah, Lapangan Terbang Berlin terpaksa menggantung penerbangannya.

Terdapat laporan berita yang datang dari seluruh dunia berkaitan gangguan perjalanan.

Laporan itu menyebut isu yang dikaitkan dengan firma keselamatan siber global, Crowdstrike.

CrowdStrike Holdings Inc merupakan syarikat teknologi keselamatan siber AS yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan beban kerja penembusan dan keselamatan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan serangan siber.

Menurut laporan berita, isu tersebut berkemungkinan berpunca daripada kesilapan pengaturcaraan yang berpotensi merencatkan keseluruhan sistem komputer, dan jika seseorang membuat jenis kesilapan yang salah, ia boleh menjatuhkan keseluruhan sistem

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan