EKONOMI > BERITA

NILAI PASARAN FINTECH MALAYSIA CAPAI US$100 BILION LIMA TAHUN AKAN DATANG

24/07/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Nilai pasaran teknologi kewangan (fintech) Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda kepada US$100 bilion (US$1 = RM4.6720) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Persatuan Fintech Malaysia Wilson Beh berkata pada masa ini pasaran fintech dianggarkan bernilai US$50 bilion.

Beliau berkata sektor itu dibina dan sangat bergantung kepada beberapa pencapaian penting yang dibangunkan dalam pasaran seperti DuitNow dan sistem pembayaran rentas sempadan.

"DuitNow bukan sahaja digunakan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau George Town, tetapi jika anda pergi ke pekan-pekan kecil, pembayaran tanpa tunai kini sudah menjadi kebiasaan.

"Mengenai pembayaran rentas sempadan, e-dompet anda boleh digunakan untuk membuat urus niaga masa nyata di Singapura dan Thailand. Ini telah dilakukan dan dipermudahkan melalui Projek Nexus dan beberapa kerjasama utama antara bank-bank pusat di rantau ini," kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Teknologi di Asia 2024 di sini hari ini.

Beh berkata pembangunan proses Kenali Pelanggan Anda (eKYC) secara elektronik dan pengenalan bank digital juga telah meningkatkan pasaran sektor itu.

"EKYC juga telah menjadi penting, ia menjadi kebiasaan di Malaysia, dan ia akan membantu inisiatif Identiti Digital Nasional dengan memanfaatkan eKYC.

"Kita mempunyai tiga bank digital, saya rasa pasaran menjangkakan dua lagi," kata Beh.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia juga sentiasa berada di kedudukan nombor satu dalam indeks fintech Islam global, disokong oleh industri kewangan Islam yang kukuh.

Pada masa depan, beliau berkata industri sedang menunggu undang-undang dan peraturan daripada pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB).

CCOB yang berada di bawah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengawal selia model perniagaan inovatif seperti beli sekarang bayar kemudian (BNPL), kata Beh.

Menurut beliau, fasa tiga Projek Nexus yang akan siap bakal menjadi pembangunan utama bagi sektor fintech dalam beberapa bulan akan datang.

"Ini menjanjikan pelaksanaan pembayaran rentas sempadan untuk generasi seterusnya, membuka peluang untuk Asean lebih bersatu sebagai blok ekonomi.

"Bagi Malaysia, ini juga adalah nilai penting terutamanya kerana negara ini akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun depan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan