EKONOMI > BERITA

AFFIN BANK METERAI MOU SOKONG PERTUMBUHAN PKS DI SARAWAK

25/07/2024 09:16 PM

KUCHING, 25 Julai (Bernama) -- Affin Bank Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga peserta industri tempatan Sarawak bagi memperluas operasinya untuk melonjakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

Tiga peserta itu ialah Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC), Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak cawangan Kuching serta Chemsain Sustainability Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Bhd Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata kerjasama dengan peserta industri tempatan itu bertujuan menggalakkan transformasi digital dan pertumbuhan mampan di Sarawak.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu menyediakan sokongan menyeluruh untuk PKS dalam perjalanan transformasi digital mereka selain memudahkan akses kepada ekosistem kerjasama, berkongsi sumber perniagaan dan amalan terbaik.

“Kami juga menyasar untuk memacu inovasi di negeri ini dan menawarkan rangkaian penyelesaian penuh untuk menangani keperluan kewangan dan bukan kewangan PKS di Sarawak,” katanya semasa program Affin BizChat bertemakan ‘Memacu Perniagaan Mampan dengan Kecerdasan Buatan’ di sini, pada Khamis.

Beliau berkata perkongsian strategik dengan syarikat itu juga menunjukkan komitmen Affin Bank untuk memperkasakan perniagaan di negeri ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

MOU itu turut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Perbankan Perusahaan Kumpulan Affin Bank Fung Kai Jin, Ketua Pegawai Eksekut SDEC Sudarnoto Osman, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak cawangan Kuching Drahman Jaladin dan Pengerusi Eksekutif Chemsain Sustainablity John Chan Sung Tong pada program itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, bank itu menjelaskan program Affin BizChat yang julung kali diperkenalkan itu berperanan sebagai siri perbincangan perniagaan interaktif yang memperkasakan komuniti PKS, menyokong ekonomi yang baik dan membantu perniagaan memanfaatkan peluang baharu.

Affin BizChat dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini.

“Program ini bertujuan menyokong perjalanan keusahawanan dengan menyediakan platform untuk perniagaan meneroka aliran pasaran terkini, mendapatkan panduan perniagaan yang bernilai dan berhubung dengan peserta industri serta pakar,” tambah bank itu.

Fatimah berkata Sarawak berhasrat menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan Affin Bank, khususnya dalam aspek kesejahteraan masyarakat seluruh negeri.

“Sarawak, sebagai contoh, menuju ke arah keadaan sedang menua. Jadi, kami ingin meneroka pelbagai bentuk kerjasama dengan Affin Bank, seperti program tanggungjawab sosial korporat yang melibatkan warga emas terutama di luar bandar, dengan melihat isu kesihatan dan kewangan untuk masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita pada program itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan