EKONOMI > BERITA

UNIT TDM, JAKS SOLAR POWER HOLDINGS METERAI MOU BANGUN LADANG SOLAR DI TERENGGANU

25/07/2024 09:59 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- TDM-YT Plantation Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd untuk membangunkan ladang solar berskala besar di Lembah Bidong, Setiu.

TDM-YT Plantation merupakan cabang perladangan TDM Bhd, syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pembangunan ladang solar seluas 700 hektar berkapasiti 200 MegaWatt (MW) itu melibatkan pelaburan bernilai RM800 juta.

“Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, TDM-YT Plantation dijangka memeterai perjanjian pajakan bersama Konsortium JAKS, gabungan kerjasama antara JAKS Solar Power Holdings dan China Power Engineering Conaulting Group International Engineering Co. Ltd, yang bakal menawarkan potensi keuntungan sebanyak RM1 juta setahun kepada syarikat tersebut.

"Kami berharap kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan membawa kejayaan besar serta impak positif kepada peningkatan sosio ekonomi negeri Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif JAKS Resources Bhd Datuk Razali Merican Naina Merican berkata kerjasama tersebut perlu bagi memudahkan tawaran bidaan JAKS Solar Power Holdings sebagai pemajak yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga.

Beliau berkata Konsortium JAKS berpotensi meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu di Terengganu, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan