EKONOMI > BERITA

Proton lancar fasiliti tambahan baharu bernilai RM253 juta di Tanjong Malim

26/07/2024 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional Proton baru-baru ini melancarkan projek penambahan fasiliti  'stamping' bernilai RM253 juta di Tanjong Malim, yang dikenali sebagai stamping E dan F.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata projek berkenaan akan meningkatkan jumlah pengeluarannya di Proton Tanjong Malim dan bersedia untuk memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang tahun 2026.

Penambahan itu juga dijangka dapat menampung jumlah pengeluaran keseluruhan yang semakin meningkat dan sebarang model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

"Ini adalah penambahan kedua yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti Proton selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad," kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton, kerana ia memberi kami lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran.

"Sepanjang 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6.067 juta komponen, dengan 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026," katanya.

Rangkaian baharu E akan mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1,600 tan dan tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2,000 tan, 1,200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1,000 tan.

Selain mesin pengecapan, Proton berkata robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.

Selain itu, rangkaian baharu ini akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import, melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan.

"Pada masa yang sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV)," kata Proton.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan