Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

 Projek Atasi Hakisan Di Pantai Puteri Dijangka Siap Sebelum 2027 - Exco

13/03/2025 11:27 PM

MELAKA, 13 Mac (Bernama) -- Projek mengatasi fenomena air pasang besar dan hakisan di Pantai Puteri sedang dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM20 juta yang disalurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata projek itu melibatkan pembinaan tembok penahan ombak serta penambakan sebahagian kecil kawasan pantai bagi mengurangkan kesan fenomena air pasang besar dan hakisan pada masa depan.

"Tender projek ini telah dianugerahkan kepada kontraktor dan pelaksanaannya telah bermula. Ia dijangka siap sebelum 2027.

"Pantai Puteri mengalami hakisan yang semakin serius sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, projek ini perlu disegerakan bagi menjamin keselamatan pengunjung, memandangkan pantai ini merupakan antara destinasi tumpuan pelancong," katanya kepada pemberita di Masjid Tun Mohd Khalil, Tanjung Minyak, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Parlimen Tangga Batu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Rais berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menyusun semula penempatan peniaga di Pantai Puteri bagi memastikan operasi perniagaan lebih teratur serta kebersihan kawasan pantai sentiasa terjaga.

Ad Banner

"Peniaga juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan mengelakkan   kawasan hakisan serta memastikan mereka  memiliki permit perniagaan daripada MBMB," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa enam daripada 21 projek yang dilaksanakan oleh PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menangani fenomena air pasang besar dan hakisan pantai dijangka siap tahun ini.

Timbalan Menteri PETRA Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata projek itu melibatkan lapan negeri di Pantai Barat Semenanjung, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM200 juta.

Dalam majlis yang sama, Ab Rauf mengumumkan bahawa kerajaan negeri menyalurkan sumbangan wang tunai dan kit Ramadan kepada 120 penduduk Parlimen Tangga Batu, membabitkan peruntukan RM12,000.

Selain itu, peruntukan berjumlah RM388,700 turut disalurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka untuk program Ihya Ramadan, bayaran utiliti 26 masjid dan 102 surau, serta pengurusan jenazah wanita dan penggali kubur di parlimen berkenaan.

-- BERNAMA

   

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan