EKONOMI > BERITA

Presiden Kumpulan/ketua Pegawai Eksekutif Sme Bank Tidak Perbaharui Kontrak Perkhidmatan

28/07/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SME Bank Datuk Aria Putera Ismail akan meninggalkan organisasi itu selepas tamat tempoh perkhidmatannya untuk mengejar peluang baharu.

Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim akan menggantikan beliau sebagai Pemangku Presiden/CEO Kumpulan bermula 3 Sept 2024. 

Menurut SME Bank dalam kenyataan hari ini, sepanjang enam tahun kepimpinannya, Aria Putera telah membuka laluan kepada SME Bank untuk memenuhi mandat dalam menyokong dan membangunkan perusahaaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Katanya ini bermula dengan mentakrifkan semula visi, misi dan memperkenalkan nilai teras S.M.I.L.E. 

Beliau turut memperkenalkan Pelan Percepatan Dua Tahun, satu pelan strategik untuk merombak perniagaan bank yang mengandungi 27 inisiatif yang memfokuskan kepada matlamat pembangunan lestari, kualiti aset, ekosistem PKS yang komprehensif, pendigitalan dan pembangunan bakat serta mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM213.9 juta pada 2019. 

“Sehubungan itu, SME Bank telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa dalam kualiti aset dan pertumbuhan pembiayaan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Jumlah pembiayaan kasar bank mencatatkan pertumbuhan 37.6 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2018 kepada RM8.9 bilion pada akhir 2023 manakala Kadar Kemerosotan Kasar berkurangan kepada 12.5 peratus daripada 22.9 peratus,” katanya.

Pada kemuncak pandemik COVID global, Aria Putera telah melancarkan pelbagai program bantuan pada Oktober 2020 hingga September 2022 untuk menyokong PKS dan perusahaan mikro dalam pelbagai industri, yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 syarikat dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM9.12 bilion.

Sementara itu, Mohammad Hardee mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran dalam perbankan perniagaan dan pengurusan strategik. 

Beliau telah berkhidmat dengan SME Bank dalam pelbagai portfolio termasuk perbendaharaan, kewangan korporat, perbankan perniagaan dan yang terkini strategi korporat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan