EKONOMI > BERITA

Amal Sasar Sumbangan Pendapatan Kepada Kumpulan Meningkat Sehingga 8.0 Peratus

29/07/2024 10:59 AM

Daripada Zairina Zainudin

JEDDAH, Arab Saudi, 29 Julai (Bernama) -- Unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG), Amal by Malaysia Airlines menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pendapatannya kepada Kumpulan antara 7.5 hingga 8.0 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasinya Muhammad Najmi Mansor berkata peningkatan tersebut disokong oleh pemulihan pasaran haji dan umrah, permintaan tinggi untuk mengerjakan umrah, pembangunan kapasiti yang rancak oleh kerajaan Arab Saudi, penggunaan e-Tourist Visa serta perkembangan rangkaian Amal lebih meluas.

Beliau berkata berdasarkan prestasi pada tahun 2023 dan separuh pertama 2024, sumbangan pendapatan Amal kepada Kumpulan adalah sebanyak lima peratus.

Bagi tahun sebelumnya, sumbangan pendapatan mencecah sekitar tiga hingga empat peratus berikutan pasaran haji dan umrah yang masih dalam proses pemulihan pasca pandemik COVID-19, katanya.

“Tahun ni kita kembali mencapai prestasi lima peratus sumbangan pendapatan (yang direkodkan) pada tahun 2019 sebab pemulihan dalam pasaran.

“Untuk jangka panjang, kami mensasarkan perubahan sumbangan pendapatan kepada Kumpulan meningkat kepada 7.5-8.0 peratus menjelang 3-5 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita semasa program suai kenal umrah bersama media baru-baru ini.

Beliau berkata sasaran tersebut juga sudah mengambil kira faktor-faktor boleh ubah seperti ketidaktentuan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta harga bahan api dunia.

 

Bawa Lebih Ramai Jemaah

Muhammad Najmi berkata Amal telah menerbangkan sejumlah 1.17 juta jemaah haji dan umrah sejak syarikat itu diperkenalkan pada 2019.

Bagi tempoh Januari sehingga April 2024, secara puratanya Amal telah membawa seramai 20,000 jemaah umrah setiap bulan dengan operasi lebih kurang tiga penerbangan sehari untuk ke Jeddah dan Madinah.

“Sasaran kita untuk masa akan datang adalah penambahan sebanyak lima hingga 10 peratus setiap tahun.

“Dari segi jangka masa panjang antara tiga hingga lima tahun, kami ingin mensasarkan penggandaan (jumlah jemaah) sebanyak dua kali ganda dari apa yang kami operasikan pada tahun ini, iaitu dari 20,000 menjadi 40,000 jemaah,” jelasnya.

Bagi musim haji 1445 Hijrah /2024, Amal telah menghantar sehingga 15,800 jemaah pulang ke Malaysia bagi fasa kedua yang bermula pada 24 Jun hingga 20 Julai lepas.

Dalam usaha memastikan keselesaan dan kecekapan, Amal mengendalikan sehingga 110 penerbangan untuk musim haji tahun ini dengan 55 penerbangan bagi setiap fasa.

Penerbangan itu menggunakan pesawat A330-300 dengan konfigurasi luas 284 tempat duduk, mengutamakan pengalaman perjalanan yang selesa untuk semua jemaah haji.

 

Meluaskan Rangkaian Operasi

Tahun ini menandakan satu peristiwa penting apabila Amal menerbangkan kumpulan pertama jemaah haji Singapura ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Jemaah haji tersebut merasai perkhidmatan berdedikasi Amal buat kali pertama, menyertai penumpang haji lain dari Australia, New Zealand, Indonesia dan Kemboja.

Muhammad Najmi berkata Amal turut menerima permintaan penyediaan penerbangan untuk jemaah dari negara-negara di benua Afrika, Asia Selatan dan Asia Tengah.

Oleh kerana industri penerbangan melibatkan kawal selia yang sangat tinggi, beliau berkata Amal berhasrat untuk mencari jalan penyelesaian lebih efektif, kekal dan bermanfaat bagi perniagaan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Untuk strategi ini, kami memerlukan rakan kongsi strategik. Itu salah satu langkah yang kami sedang teroka kerana pasaran sasaran kami untuk berkembang dalam jangka panjang termasuk Afrika, Asia Selatan dan Asia tengah” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Amal sudah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan nasional dari negara-negara yang terlibat untuk inisiatif rangkaian operasi itu, katanya.

 

Program Hargai GLC

Muhammad Najmi berkata Amal akan memperkenalkan pakej umrah khas yang ditawarkan kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpilih dalam usaha untuk merapatkan ukhwah.

Beliau berkata pakej itu diwujudkan bagi menghargai rakan-rakan GLC yang selama ini telah banyak menyokong MAG ketika waktu susah dan senang.

“(Untuk ini) Amal berkolaborasi bersama empat strategik partners iaitu MKM Ticketing Travel & Tours, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan KRS Travel Sdn Bhd.

“Jadi...kami akan melaksanakan beberapa promosi dan juga tawar diskaun harga bagi menjadikan pakej kami lebih murah berbanding dengan pakej-pakej lain sedia ada di pasaran,” katanya.

Muhammad Najmi berkata pakej tersebut ditawarkan dengan diskaun harga antara lima hingga tujuh peratus.

Pakej perintis selama lapan hari tujuh malam sudah dilaksanakan dengan penerbangan pertama pada 15 Julai, melibatkan 30 orang kakitangan MAG dan ahli keluarga serta beberapa pengamal media.

Beliau berkata pakej premium GLC itu nanti akan meliputi penerbangan pergi dan balik dikendalikan oleh Amal serta penginapan dilokasi tumpuan iaitu di Movenpick Hotel di Mekah dan View by Maden di Madinah, atau setaraf dengannya.

Pakej seterusnya dijangka akan dilancarkan pada bulan Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan