EKONOMI > BERITA

Unit Genting Plantations Laksana Terbitan Pertama Sukuk Wakalah Rm1.2 Bilion

29/07/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Benih Restu Bhd, anak syarikat milik penuh Genting Plantations Bhd (GENP) melaksanakan terbitan pertama RM1.2 bilion dalam nilai nominal nota jangka sederhana Islam (sukuk wakalah).

Ia di bawah program sukuk wakalah RM2.0 bilion dalam nilai nominal prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, GENP berkata sukuk wakalah yang diterbitkan itu bertempoh 10 tahun dengan kadar keuntungan sebanyak 4.08 peratus setahun.

"Benih Restu hendaklah memajukan hasil daripada penerbitan sukuk wakalah kepada GENP dan/atau anak-anak syarikat GENP dalam kalangan syarikat yang patuh syariah," katanya.

Ia berkata kumpulan berkenaan akan menggunakan hasil tersebut untuk tujuan yang patuh syariah seperti perbelanjaan operasi; perbelanjaan modal; pelaburan; pembiayaan semula pinjaman sedia ada dan kemudahan pembiayaan yang patuh syariah sedia ada dan/atau kemudahan pembiayaan yang patuh syariah pada masa hadapan.

Kumpulan tersebut juga berkata hasil tersebut akan digunakan untuk keperluan modal kerja, keperluan pembiayaan am dan/atau tujuan korporat am lain yang berada dalam kumpulan.

Ia merangkumi pembangunan dan operasi ladang kelapa sawit, pemprosesan minyak sawit, pembangunan dan pelaburan hartanah, penyelidikan bioteknologi dan pembangunan aplikasi yang meningkatkan tanaman ladang serta sebarang aktiviti perniagaan baharu dalam kumpulan.

"AmInvestment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd, OCBC Al-Amin Bank Bhd dan Public Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama bagi program sukuk wakalah tersebut," katanya.

Bank-bank berkenaan juga merupakan pengurus utama bersama untuk penerbitan pertama sukuk wakalah di bawah program sukuk wakalah.

Ketika dagangan di Bursa Malaysia ditutup, saham GENP susut tiga sen kepada RM5.70 dengan 727,100 saham diurusniagakan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan