EKONOMI > BERITA

Khazanah Nasional Selesai Pengambilalihan MAVCAP, Penjana Kapital, Peruntuk Pelaburan RM1 Bilion

30/07/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital  dalam usaha untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia dan menambah baik institusi awam.

Pengambilalihan tersebut dijangka dapat meningkatkan penyelarasan dan pemusatan sumber kerajaan, memudahkan usaha memajukan ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia serta memperkukuh daya saing ekosistemnya di peringkat serantau, kata cabang pelaburan negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan pengambilalihan itu, MAVCAP dan Penjana Kapital kini merupakan anak syarikat milik sepenuhnya Khazanah.

Selain itu, Khazanah berkata, ia akan menubuhkan national fund-of-funds (NFOF) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk dilabur dalam syarikat pemula niaga yang berinovatif serta mempunyai pertumbuhan tinggi melalui dana modal teroka dan ekuiti persendirian.

“Integrasi MAVCAP dan Penjana Kapital memberi peluang kepada NFOF untuk meneruskan usaha membangunkan ekosistem melalui asas kukuh yang dibina oleh kedua-dua entiti di samping melaksanakan inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuhkan lagi ekosistem modal teroka Malaysia,” kata Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Menurutnya, dengan memusatkan dan mengukuhkan platform pelaburan merentas pelbagai agensi pelaburan, Malaysia akan berada di kedudukan yang lebih baik untuk memastikan kemampanan pembiayaan, menarik modal swasta, menarik firma modal teroka serantau, dan merangsang sektor strategik negara.

“Dalam masa yang sama, penubuhan NFOF ini selari dengan inisiatif Future Malaysia Programme Khazanah yang bertujuan untuk menyokong ekosistem usahawan pemula niaga tempatan, syarikat pemula niaga, modal teroka, dan program teroka korporat melalui kerjasama dengan rakan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Amirul Feisal berkata Khazanah yakin dengan gabungan pengalaman dan sumber daripada MAVCAP dan Penjana Kapital akan meningkatkan akses kepada modal bagi syarikat pemula niaga, memacu inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi. 

Ini seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk ‘meningkatkan siling’ melalui industri yang dipacu oleh inovasi digital dan menyokong syarikat berpertumbuhan tinggi untuk menjadi juara serantau.

Beliau berkata inisiatif ini adalah salah satu tonggak utama visi Malaysia untuk menjadi hab modal teroka serantau pilihan menjelang 2030, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024-2030 (MVCR) dan Kertas Tindakan KL20.

“Kami mengiktiraf sumbangan dan komitmen MAVCAP dan Penjana Kapital. Visi dan dedikasi mereka terhadap ekosistem modal teroka selama ini sangat berharga, dan kami berharap untuk menggabungkan kekuatan serta pengalaman mereka untuk mencapai visi bersama Memajukan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan