EKONOMI > BERITA

Laksana Behavioural Insights Pertingkat Dasar, Amalan Kawal Selia Baik - Tengku Zafrul

30/07/2024 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia boleh melakukan banyak lagi dalam menyepadukan behavioural insights (BI) ke dalam dasar awam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata antaranya dengan mengkaji cara untuk menarik pelaburan, melonjakkan perdagangan antarabangsa serta memajukan pembaharuan industri.

Malaysia mula menyepadukan BI ke dalam dasar awam pada 2020 dan berusaha menambah baik dasar untuk memberi manfaat kepada komuniti perniagaan, pelabur dan rakyat Malaysia, katanya.

“Persoalan utama ialah: bagaimana kita boleh memanfaatkan BI untuk mempertingkatkan dasar dan amalan kawal selia yang baik untuk memperhebat rantaian bekalan kita dan merangka perancangan bakat industri yang cukup untuk memacu produktiviti lebih tinggi dan daya saing global?,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Behavioural Insights 2024.

Tengku Zafrul berkata BI boleh mempertingkatkan tadbir urus yang baik dengan memudahkan prosedur dan menjadikan borang serta dokumentasi lebih mesra pengguna melalui automasi.

“Kesimpulannya, menjadikan operasi kerajaan lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata BI membolehkan langkah memperkemas keperluan operasi, mengurangkan beban perniagaan dan menggalakkan pematuhan bagi menyediakan sumber untuk inovasi dan perkhidmatan lebih baik.

“Kedua, dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran industri, kita boleh menetapkan peringatan tepat masa mengenai peluang pendidikan dan tarikh akhir untuk usaha kemahiran baharu dan kemahiran tambahan,” katanya.

Beliau berkata projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang telah dilaksanakan juga akan mempunyai ciri lebih lestari seperti tenaga boleh baharu dan kitar semula sisa industri yang mampan sebagai tetapan semasa.

“Memanfaatkan BI akan mendorong industri ke arah menyokong matlamat sifar bersih kita, seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata penting untuk merangkumkan BI dalam mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti negara sebanyak 3.7 peratus menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Menerusi langkah memanfaatkan BI, kita dapat lebih memahami faktor asas yang mempengaruhi produktiviti pada peringkat individu dan organisasi, membolehkan penyusunan dasar yang lebih bersasar dan berkesan,” katanya.

Beliau berpandangan BI merupakan pendekatan yang juga boleh meningkatkan kecekapan kerajaan dengan ketara, terutama apabila menggunakan alat, teknik dan teknologi yang betul dan mesti berkembang sejajar dengan peredaran masa.

“Pendekatan BI dengan betul merentas seluruh perkhidmatan awam akan menjana operasi pada kos rendah dan berbaloi dari segi ekonomi untuk menambah baik hasil perkhidmatan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata inisiatif Kulim merupakan antara contoh kecekapan dipertingkatkan berasaskan BI, apabila pembinaan kilang dipercepatkan kepada hanya dalam tempoh 10 bulan daripada 36 bulan.

“Ini meningkatkan pelaburan sebanyak RM24.56 bilion atau hampir 92 peratus (91.64 peratus), melonjakkan hasil sebanyak RM77 juta atau 105 peratus dan mewujudkan tambahan 7,225 atau lebih 75 peratus (75.24 peratus) pelung pekerjaa,” katanya.

Beliau berkata selain itu inisiatif Kulai, yang menyaksikan garis masa pembinaan dipendekkan kepada hanya 14 bulan.

Usaha itu telah meningkatkan pelaburan dengan ketara sebanyak RM40.7 bilion atau 171 peratus, menjana RM161 juta atau 80 peratus lebih hasil, dan mewujudkan sehingga 7,000 atau 112 peratus lebih banyak peluang pekerjaan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan