EKONOMI > BERITA

ADIA Mahu Tingkat Pelaburan, Cipta Nilai Lebih Besar Dalam Pelaburan Di Malaysia - Tengku Zafrul

13/01/2025 07:57 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 13 Jan (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), salah satu dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi US$1 trilion menyatakan komitmen untuk terus mempertingkat pelaburannya di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ADIA yang telah lama melabur di Malaysia juga mahu memberi tumpuan utama mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk usaha transformasi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

 “Sebagai pelabur global berimpak tinggi, ADIA memainkan peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan, tenaga, dan banyak lagi di peringkat global.

“Antara pelaburan utama mereka di peringkat antarabangsa termasuk lapangan terbang di United Kingdom dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta projek infrastruktur logistik di India dan tenaga di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di UAE, mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi ADIA yang berpusat di Abu Dhabi.

Beliau berkata pertemuan di Abu Dhabi itu membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.

“Dalam pertemuan ini, kami berbincang bersama Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan, Pengarah Urusan ADIA, serta barisan kepimpinan lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri, yang menyatakan minat mendalam terhadap peluang pelaburan di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata di Malaysia, komitmen ADIA terserlah melalui pelaburan yang selaras dengan  Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Antara sumbangan penting mereka termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penswastaan (transformasi) MAHB, selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara,” katanya.

Beliau berkata ini jelas menunjukkan keyakinan kukuh terhadap dasar kerajaan yang mesra pelabur yang akan memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.

“Melalui hubungan strategik ini, kami terus memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama untuk pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu, dan merancakkan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Selain ADIA, Perdana Menteri dan Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan dua lagi dana kekayaan berdaulat UAE iaitu Masdar dan Mubadala.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan