EKONOMI > BERITA

Bintai Kinden Selesai Struktur Semula Kemudahan Perbankan Yang Mungkir

31/07/2024 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bintai Kinden Corporation Bhd (BKCB) mengumumkan kumpulan itu telah berjaya menstruktur semula dan menjadualkan semula semua kemudahan perbankannya yang mungkir dengan pembiayanya dengan matlamat untuk keluar daripada status PN17.

Menurut syarikat pakar perkhidmatan kejuruteraan itu, pihaknya telah mencapai kemajuan yang ketara melalui inisiatif strategik termasuk meraih nilai perolehan kontrak yang kukuh, merundingkan terma yang lebih baik dengan bank dan pemiutang, melaksanakan langkah-langkah penjimatan kos, menyelesaikan projek yang tertunggak dan memastikan pembayaran penghutang dibuat tepat pada masanya.

“Usaha ini amat penting dalam memacu syarikat ke arah pemulihan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada 30 Julai 2024, BKCB mendapat kelulusan Maybank untuk penstrukturan semula dan penjadualan semula kemudahan perbankan anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd.

“Penstrukturan semula ini melibatkan menukar overdraf kontrak yang tertunggak dan bil-bil perdagangan menjadi kemudahan pinjaman berjangka, memulihkan kemudahan overdraf sebanyak RM6.9 juta dan kemudahan jaminan bank sebanyak RM10 juta.

“Dengan kelulusan ini, semua kemudahan perbankan kumpulan telah ditetapkan, menjadi satu lagi pencapaian dalam perjalanan pemulihan syarikat,” katanya.

Berdasarkan perkembangan positif ini, BKCB berkata pihaknya akan meminta penasihatnya untuk merangka pelan dengan sasaran untuk keluar daripada status PN17 dan memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan utamanya mengenai kemajuan dalam perkara ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan