EKONOMI > BERITA

Deemples Sasar Pengembangan Global, Lonjak Perlancongan Golf Di Malaysia

04/08/2024 11:08 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Platform golf Malaysia, Deemples Technologies Sdn Bhd, menyasar untuk mengembangkan senarai padang golfnya di peringkat global di samping menggiatkan pemasaran bagi menarik lebih ramai pemain golf menggunakan platform itu.

Menurut Deemples langkah tersebut sekali gus akan meningkatkan pelancongan golf di Malaysia.

Deemples, platform yang direka untuk menghubungkan pemain golf di seluruh dunia, satu bandar pada satu masa, kini mempunyai operasi kukuh melibatkan Malaysia dan Batam, Indonesia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif David Wong berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi pelancongan merentas pelbagai pasaran untuk menjadikan golf sebagai aktiviti utama di Malaysia.

“Satu sebab mudah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi golf ialah kos untuk bermain golf di sini yang rendah serta kadar pertukaran mata wang asing yang menggalakkan untuk Ringgit Malaysia.

“Kami telah memudahkan untuk ramai pemain golf dari Australia, China, Korea Selatan, Jepun dan India, justeru, kami akan terus berbuat demikian untuk memberikan pengalaman bermain golf yang menarik di negara kita,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Wong berkata lebih 80 padang golf, akademi golf dan pusat golf dalaman menganjurkan kejohanan dan sesi golf dengan menggunakan platform Deemples, membolehkan pemain golf lain menyertainya.

Selain itu, ramai hos individu mengatur permainan mereka di pelbagai kemudahan golf dan langkah itu membolehkan pemain golf lain mengambil bahagian, katanya.

“Lebih ramai pemain golf antarabangsa mendapat tahu dan meneroka padang golf Malaysia melalui Deemples.

“Kami menumpukan banyak usaha pemasaran untuk membolehkan pemain golf antarabangsa mengetahui lebih lanjut mengenai padang golf di Malaysia, memahami ciri kelainan yang ditawarkan di pelbagai padang golf Malaysia selain menempah slot untuk bermain,” katanya.

Sejak diwujudkan pada 2017, matlamat Deemples adalah memudahkan proses mencari dan menjadualkan permainan golf, dengan itu memupuk komuniti golf yang lebih bersatu dan terjalin.

Pada masa ini, platform itu mempunyai 80,000 pelanggan, terdiri daripada 70 peratus pemain golf tempatan, 20 peratus pemain golf Singapura dan 10 peratus dari negara lain.

Wong berkata ramai pelancong golf menggunakan Deemples semasa berkunjung ke Malaysia kerana mungkin tidak mempunyai rakan yang menemani mereka.

Deemples membantu mereka mencari permainan sedia ada, menyediakan peluang untuk menyertai permainan dan bertemu pemain golf lain dari dalam dan luar negara.

 

Pengembangan di Asia Tenggara dengan US$2 juta

 

Baru-baru ini, Deemples mengumpulkan US$2 juta untuk meningkatkan perniagaan dan memacu pertumbuhan golf di rantau Asia Tenggara.

Pembiayaan itu akan digunakan untuk membangunkan lagi ciri aplikasi dan meluaskan jangkauannya kepada lebih ramai pemain golf dan pihak yang mengendalikan padang golf.

Wong berkata meningkatkan penglibatan komuniti pemain golf Malaysia dengan Deemples adalah penting untuk menjadikan platform itu lebih bernilai bagi kalangan pemain golf yang lebih luas.

“Kini kami mempunyai peluang untuk meningkatkan usaha membangunkan komuniti ini, memastikan bukan sahaja bandar utama di Malaysia malah juga bandar yang lebih kecil, menyediakan kemewahan yang sama bagi permintaan yang mencukupi untuk permainan yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata usaha pengembangan itu akan menumpukan aktiviti pemasaran dan pembangunan produk, dengan pengambilan pekerja telah dijalankan untuk mempercepat pertumbuhan.

Beliau berharap golf di Malaysia dapat mencapai tahap di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, apabila golf sangat mudah diakses dan fleksibel selain halangan yang minimum.

Wong menjelaskan Malaysia berpotensi menjadi destinasi golf terbaik jika kawasan tertentu bertambah baik.

Padang golf di negara ini berkedudukan unik sebagai bukan yang paling mahal mahupun yang paling eksklusif.

“Di Malaysia, masih ada banyak peraturan dan halangan yang tidak perlu sekali gus menyukarkan pemain untuk bermain atau mula bermain golf, seperti kod pakaian, perkongsian peralatan dan sekatan ke atas bilangan pemain golf dalam sesebuah kumpulan,” katanya.

Wong berkata tindakan menghapuskan halangan itu akan mendorong pertumbuhan permainan golf di negara ini.

“Sebagai konteks, golf dimainkan kira-kira 1.0 peratus rakyat Malaysia, berbanding 10 peratus di Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Persoalannya ialah bagaimana mereka mencapai perkara itu dan bagaimana kita boleh belajar daripada mereka?,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan