EKONOMI > BERITA

Tenaga Kerja Kewangan Malaysia Alami Transformasi, FSF Akan Tingkatkan Kemahiran -- AICB

07/08/2024 11:51 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Landskap tenaga kerja Malaysia sedang mengalami transformasi penting apabila banyak tugas pekerjaan baharu tidak pernah wujud ketika dekad yang lepas dan trend itu mungkin berterusan dalam beberapa dekad akan datang.

Memandangkan kepentingan kepada ekonomi Malaysia, tenaga kerja dalam sektor kewangan perlu dilengkapi kemahiran menyesuaikan diri dengan trend teknologi yang berubah dengan pantas, yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Penetapan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) pertama Malaysia untuk sektor kewangan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Insurans Malaysia bertujuan supaya tenaga kerja menjadi kalis masa depan dengan merapatkan jurang kemahiran.

Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim mengharapkan FSF akan menjadi rujukan utama untuk pembangunan kemahiran kewangan di Asia, meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kepakaran.

Beliau percaya usaha itu akan mengorak laluan untuk membangunkan program pembelajaran standard dan platform pertukaran pengetahuan di rantau ini.

Kewangan merupakan sektor penting dalam memacu pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia, menyumbang kira-kira 6.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, dengan unjuran pertumbuhan 4.3 peratus bagi 2024.

Pada suku pertama 2024, sebanyak 168,832 orang telah diambil bekerja oleh sektor kewangan.

Langkah melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang dituntut adalah penting untuk pertumbuhan dan kemampanan sektor ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AICB Edward Ling berkata spektrum aliran utama, termasuk transformasi hijau dan digital serta peralihan demografi, secara asasnya membentuk semula model perniagaan dan tempat kerja. 

Dalam menghadapi trend ini, dan seiring dengan sasaran negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, beliau menekankan bahawa kemahiran berperanan sebagai pemecut dan penting untuk sektor kewangan dalam peralihan kepada masa depan yang berjaya.

Ling berkata, sehubungan itu, pelancaran FSF untuk sektor kewangan menandakan satu langkah penting dalam memajukan tenaga kerja sektor kewangan yang bersedia untuk masa hadapan.

"Matlamat kami menerusi FSF adalah untuk membawa perubahan transformasi dan tenaga kerja yang bersiap siaga. Ia juga bertujuan untuk terus menggalakkan mobiliti bakat, menyediakan laluan pembangunan kerjaya yang jelas, dan membantu mengurangkan pengangguran dalam sektor itu," katanya.

Beliau berkata bilangan jurubank bertauliah meningkat sebanyak 43 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, menunjukkan komitmen terhadap pembangunan profesional.

Menurutnya AICB menyasarkan 50 peratus daripada tenaga kerja perbankan yang diperakui dengan kemahiran relevan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Katanya ini dilaksanakan melalui rangkaian program pendidikan perbankan profesional, kursus dan inisiatif pembangunan profesional berterusan AICB seperti persidangan, webinar dan sesi teknikal.

Walaupun terdapat institusi kewangan telah memulakan penglibatan dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula, sektor ini tidak mempunyai visi menyeluruh bagaimana kemahiran itu wajar diperlihatkan dalam persekitaran yang berubah-ubah ini.

Projek FSF yang dimulakan pada Mei 2023 dan diterajui AICB, menawarkan kepimpinan strategik kepada keseluruhan projek, menguruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan industri, serta memantau keseluruhan kemajuan dan impak projek.

Ling berkata FSF itu adalah sejajar dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022-2026, yang menekankan kepada kepentingan meningkatkan kemahiran dan latihan semula bagi membangunkan tenaga kerja untuk mengemudi keutamaan kerja dan mendepani cabaran masa depan dengan lebih berkesan.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank Datuk Dr Nora Manaf berkata FSF berfungsi sebagai rujukan untuk golongan profesional, mahasiswa dan pekerja yang merancang mencari pekerjaan baharu dalam sektor kewangan.

"Mengapa ia penting? Kerana rangka kerja itu membahagi-bahagikan kepada peranan tertentu dan kemahiran yang diperlukan untuk setiap pekerjaan...Jadi, anda kini boleh mengenal pasti kemahiran khusus yang perlu anda bina untuk merapatkan sebarang jurang dan menilai pilihan kerjaya anda," katanya.

FSF mengenal pasti 159 pekerjaan berkaitan dan 157 kemahiran yang mendapat permintaan untuk tempoh tiga tahun akan datang, potensi pembangunan kerjaya dan hampir 1,000 program pembinaan kapasiti yang boleh disertai.

Antara lainnya, ia mengetengahkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kemahiran dalam bidang teknologi terkini, kemampanan dan Syariah.

Selain itu, ia juga mengenal pasti sejumlah 17 bidang pekerjaan baharu yang penting dalam memacu integrasi teknologi pada masa depan, mencipta pengalaman melalui platform bersepadu, dan memperkasakan tenaga kerja untuk meningkatkan produktiviti.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff, berkata kemahiran patuh Syariah meliputi 50 peratus daripada bidang pekerjaan yang dicipta.

“Menjadi aspirasi kami agar FSF dapat membantu IBFIM menyokong pembangunan profesional kewangan Islam berkemahiran tinggi, melengkapkan mereka dengan pelbagai set kemahiran  yang diperlukan untuk keperluan pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan