EKONOMI > BERITA

Tempuhi Rintangan, Wanita Malaysia Muncul Usahawan Berjaya

07/08/2024 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Mencipta kejayaan dalam industri didominasi lelaki bukanlah mudah, namun dua wanita Malaysia yang terpilih untuk program Ernst & Young (EY) Entrepreneurial Winning Women Asia Pasifik Kelas 2024 menongkah arus, sekali gus mengorak langkah signifikan dalam dunia keusahawanan.

Datuk Anna Teo, pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Hernan Corporation Sdn Bhd selama lebih 20 tahun, mengakui bahawa penglibatannya dalam bidang keusahawanan adalah sesuatu yang mencabar, susulan stigma terhadap wanita dalam industri durian masih kuat. 

Beliau berkongsi, sukar untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan syarikat kerana ramai dalam industri durian meragui kemampuan seorang wanita, terutamanya yang tidak mempunyai pengalaman berkaitan penanaman pokok durian.

"Jika anda ingin memulakan perniagaan dan menceburi bidang keusahawanan, anda perlu bersedia dengan rancangan perniagaan yang sangat kukuh. Dari sini, kekal tabah dan pastikan anda menangani setiap halangan. Ingat, apabila anda menceburi perniagaan, tak boleh berpatah balik," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Teo berkata keusahawanan merupakan pembelajaran berterusan yang penuh cabaran.

"Bersedia untuk berdepan ujian dan masa sukar, namun saya selalu beritahu diri sendiri, ‘kau tak bersendirian, ini jalan yang perlu ditempuh untuk menuju kejayaan’,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada EY Malaysia kerana mewujudkan platform untuk mengumpulkan usahawan wanita berjaya dari Asia Tenggara dan saling menguatkan, di samping membolehkannya memperluas rangkaian pelanggan berpotensi.

"Saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini. Kini saya rasa lebih yakin. EY telah banyak membantu saya dalam mendapatkan pelabur dan bimbingan yang betul, serta menghubungkan saya dengan pelanggan berpotensi yang tepat," tambahnya.

Seorang lagi calon, Ooi Lay Pheng yang merupakan CEO perniagaan milik keluarganya Berjayapak Sdn Bhd, berdepan sikap berat sebelah terhadap jantina dan prasangka ketika beliau mula menceburi industri pembungkusan yang lasak.

"Oleh kerana saya bertubuh kecil, orang meragui kemampuan dan kebolehan saya dalam industri yang kasar ini. Saya selalu bergantung kepada empat perkara (iaitu) lupakan (unlearn), belajar semula (relearn) dan terus belajar (keep on learning), membina rangkaian yang baik dengan rakan-rakan industri, motivasi diri dan menerima kritikan.

"Inilah yang membantu saya untuk mengatasi halangan yang ditempuhi,” katanya sambil menambah beliau mula berjinak dengan keusahawanan semasa menemani bapanya dalam urusan perniagaan sewaktu sekolah rendah.

Mengenai program EY Entrepreneurial Winning Women Asia Pasifik Kelas 2024, Ooi berpendapat program itu membolehkan wanita dari pelbagai latar belakang untuk lebih memahami pelbagai tanggungjawab yang dipegang mereka sebagai individu dengan pelbagai peranan.

"Oleh itu, apabila kami berkumpul, kami mempunyai pemahaman tertentu tentang bagaimana kami perlu membantu antara satu sama lain untuk mengharungi fasa kehidupan yang dilalui," jelasnya.

Program EY Entrepreneurial Winning Women ialah program eksekutif sepanjang tahun yang mengenal pasti dan menyokong sekumpulan pengasas berpotensi tinggi yang telah membina syarikat menguntungkan, serta membantu mereka dari segi hubungan dan sumber yang diperlukan untuk mencungkil potensi serta memajukan syarikat secara mampan.

Dilancarkan pada 2008, program berkenaan telah berkembang menjadi suatu komuniti global membabitkan lebih 900 usahawan wanita dari lebih 55 negara dan pelbagai industri.

Bagi maklumat lanjut mengenai anggota program tersebut, layari https://www.ey.com/en_gl/entrepreneurial-winning-women-asia-pacific.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan