EKONOMI > BERITA

KUSKOP Peruntuk RM2.57 Bilion Kepada 272,242 Usahawan Wanita Di Bawah AIM

19/12/2024 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM2.57 bilion kepada 272,242 usahawan wanita di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) setakat November bagi tahun ini.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang dimuat naik di laman web Parlimen hari ini, kementerian itu menjelaskan antara program lain untuk usahawan wanita termasuk Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita kepada 3,258 usahawan dengan peruntukan RM28 juta.

KUSKOP turut melaksanakan Program BRPlus -- BizLady oleh Bank Rakyat yang telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM30.9 juta kepada 489 usahawan wanita.

Di samping itu, Program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent” (SWEET) di bawah Projek “Be Your Own Boss” (BYOB) oleh Perbadanan Nasional Bhd telah melibatkan 60 usahawan wanita dalam industri francais dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM 9.2 juta.

“Bagi 2024, SME Corp melalui program BizME telah mengadakan kerjasama dengan dua rakan pelaksana iaitu syarikat dalam bidang urutan selepas bersalin dan penjagaan kuku melibatkan peruntukan berjumlah RM499,184 dan memberi manfaat kepada 121 peserta wanita.

“Program BizME ini akan terus dilaksanakan pada 2025 dengan peruntukan berjumlah RM6 juta melibatkan sasaran sebanyak 630 perusahaan mikro,” menurut KUSKOP.

Kementerian menjawab soalan Senator Anna Bell@Suzieana Perian mengenai geran khas atau bantuan kerajaan bagi memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi khususnya perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan