EKONOMI > BERITA

Sektor Pembinaan Malaysia Melonjak Lebih 20 Peratus Pada Suku Kedua 2024

12/08/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sektor pembinaan melonjak 20.2 peratus dengan nilai kerja berjumlah RM38.9 bilion pada suku kedua 2024, dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata kedua-dua subsektor itu mencatatkan peningkatan dua digit yang ketara kepada 25.2 peratus dan 19.7 peratus.

"Selain itu, pertumbuhan sektor ini turut didorong oleh pengembangan yang lebih kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas sebanyak 44.9 peratus (suku pertama 2024: 11.8 peratus).

"Subsektor bangunan bukan kediaman turut meningkat, dengan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkaitan keluaran statistik pembinaan suku tahunan hari ini.

Pertumbuhan 20.2 peratus dalam nilai kerja menandakan peningkatan daripada pertumbuhan 14.2 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada suku sebelum itu.

Mohd Uzir berkata daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM38.9 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2024, sejumlah RM15.2 bilion atau 39.0 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) dan projek utiliti (RM5.6 bilion).

"Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menyumbang RM10.6 bilion (27.4 peratus) dan RM8.8 bilion (22.6 peratus).

"Di samping itu, aktiviti pertukangan khas adalah sebanyak RM4.3 bilion (11.0 peratus), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik; dan pemasangan sistem paip, pemanasan dan pendingin udara, dengan kedua-duanya pada RM1.1 bilion," katanya.

Menurut kenyataan itu, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam sektor pembinaan, menyumbang RM23.6 bilion atau 60.8 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan.

Sektor swasta mengekalkan momentum dua digit dengan pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus (suku pertama 2024: 10.1 peratus), didorong oleh prestasi yang kukuh dalam subsektor bangunan kediaman (19.9 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (46.0 peratus).

Begitu juga, nilai kerja oleh sektor awam mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 27.8 peratus (suku pertama 2024: 20.6 peratus) kepada RM15.3 bilion, yang dipacu terutamanya oleh subsektor kejuruteraan awam dengan pertumbuhan sebanyak 23.8 peratus.

Mengulas mengenai sektor pembinaan mengikut negeri pada suku kedua 2024, Mohd Uzir berkata hampir  59.0 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Bagi separuh pertama 2024, sektor ini mencatatkan nilai sebanyak RM75.7 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (separuh kedua 2023: 8.7 peratus).

Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor, terutamanya oleh kejuruteraan awam (25.0 peratus) dan bangunan kediaman (15.7 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan