EKONOMI > BERITA

"Friendshoring" JS-SEZ Dorong Malaysia, Singapura Jadi Duo Kukuh Rantaian Bekalan Global

12/08/2024 03:58 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mempunyai potensi yang diperlukan Malaysia dan republik itu memanfaatkan konsep “friendshoring,” amalan perdagangan dengan rangkaian rantaian bekalan tertumpu kepada negara yang dianggap sebagai rakan ekonomi.

Perkongsian ini menyasarkan untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan ketegangan perdagangan yang menggugat ketidaktentuan ekonomi.

Walaupun JS-SEZ akan tampil sebagai zon ekonomi baharu di negeri selatan Malaysia, ia membolehkan kedua-dua negara berjiran itu meraih manfaat daripada lokasi kedua-duanya yang berdekatan, sebagai "duo (ekonomi) yang mantap" di rantau Asia.

Johor membuktikan telah menarik pelaburan besar bagi hab pusat data dan industri berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Kemasukan pelbagai pelabur secara besar-besaran, di samping kelebihan Johor yang mempunyai banyak tanah berbanding Singapura, telah menjurus kepada aspek yang disifatkan oleh penganalisis sebagai "ledakan" ekonomi dan persekitaran perniagaan yang berkembang pesat di negeri ini.

Ini sememangnya tidak mengejutkan memandangkan Johor mengukuhkan daya tarikan pelaburannya dengan mempergiat pembangunan infrastruktur, terutama hubungan antara ibu negerinya Johor Bahru dengan wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, selaku tumpuan pelaburan utama.

Sebagai pemudah cara ekonomi, projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura yang dijadualkan bermula 1 Jan 2027, akan menjadi pendorong kukuh kepada JS-SEZ.

Ia dijangka menarik pelaburan dan kemudahan pengeluaran, mentransformasikan Johor sebagai pembekal rantaian nilai yang penting bagi pasaran global.

Meskipun JS-SEZ dikaitkan dengan semua aspek positif, kebimbangan utama adalah sama ada Johor bersedia dan mempunyai kapasiti untuk pembangunan meluas itu.

Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan yang mengakui kebimbangan ini bagaimanapun berpendapat Johor bersedia dan berupaya untuk menyediakan pekerja mahir.

"Apabila Johor dan Singapura bergabung, ini juga bermakna kita boleh memanfaatkan Singapura sebagai hab kewangan, manakala negara itu yang tidak mempunyai tanah mencukupi, boleh memanfaatkan tanah yang banyak di Johor," katanya.

Dengan peranan Singapura sebagai pusat kewangan global, Malaysia dapat meraih manfaat dengan menarik perniagaan global untuk beroperasi di Johor, kata Azmi kepada Bernama ketika ditanya mengenai prospek JS-SEZ.

Beliau yakin bahawa kerjasama ini menawarkan manfaat yang jelas terutama berikutan kesan perang perdagangan Amerika Syarikat-China, apabila syarikat menyasarkan destinasi pelaburan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Pada masa ini, perniagaan, misalnya di China, yang berhasrat untuk langkah penempatan semula mungkin memilih Vietnam. Bagaimanapun dengan JS-SEZ, mereka mungkin menyasarkan di sini berikutan tanah yang disediakan adalah empat kali lebih besar berbanding Singapura," kata Azmi.

Penganalisis berkaitan perniagaan, Nordin Abdullah turut senada dengan pandangan itu, sambil menjelaskan JS-SEZ berperanan sebagai sentuhan jualan yang unik memandangkan Malaysia, melalui Johor mempunyai akses ke Lautan Pasifik dan Hindi.

Sehubungan itu, ia menawarkan laluan pengangkutan maritim yang pelbagai.

Selain itu, zon ekonomi khas berkenaan menyediakan akses darat ke Asia melalui kereta api, berkemungkinan sehingga ke China, yang dijangka berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Nordin yang juga Pengerusi Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).

"JS-SEZ berkedudukan unik terhadap daya tahan krisis dari segi kemudahan pelaburan dan pengeluaran. (Sehubungan itu) anda perlu memastikan pada setiap masa, produk anda boleh menjangkau pasaran global dengan konsisten," katanya.

Menurut Nordin, pusat data juga perlu memastikan datanya "dapat menembusi” ke pasaran global.

Beliau menekankan kedudukan Johor yang berdekatan dengan Singapura sebagai nod utama bagi kabel dasar laut, menambah daya tarikannya.

Berikutan kelebihan ekonomi itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menggambarkan JS-SEZ untuk muncul sebagai "Shenzhen Asia Tenggara."

Shenzhen telah diisytiharkan sebagai zon ekonomi khas pertama China pada 1979. Ia adalah kisah kejayaan sebuah bandar berhampiran pantai di wilayah Guangdong, selatan China.

Selama bertahun-tahun, ia berubah menjadi metropolis moden yang menawarkan persekitaran perniagaan yang bermutu tinggi. Shenzhen terkenal dengan hab teknikal dan inovasinya serta sering dikatakan sebagai Lembah Silikon China.

Tengku Zafrul berkata pelaburan asing membabitkan pusat data terutama di Johor, telah melonjakkan Malaysia di kedudukan utama pasaran pusat data paling pesat berkembang di Asia.

Bagi menyokong pertumbuhan seterusnya, beliau mengumumkan langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk membangunkan insentif khas bagi pusat data AI.

Bagi tempoh 2021 hingga 2023, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM114.7 bilion untuk pusat data dan perkhidmatan awan, mewujudkan 2,325 pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), yang memainkan peranan penting untuk mempromosi Iskandar Malaysia, memaklumkan koridor pertumbuhan ekonomi itu meraih pelaburan kira-kira RM30 bilion tahun ini.

Tumpuan adalah terarah kepada pusat data di samping terus menarik minat pelabur asing dalam sektor pusat data.

Menurut Nordin, faktor ini menjadikan Johor sebagai lokasi menarik, merentas pelbagai faktor seperti kos tanah, kos elektrik dan kos modal insan -- menawarkan pelabur global dengan kriteria (positif) yang dapat dijadikan asas untuk mereka membuat keputusan.

"Oleh itu, sekiranya anda tidak memenuhi sebarang kriteria yang diperlukan, amat sukar untuk menarik apa-apa pelaburan. Hakikatnya ini telah dilakukan, ia bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata, tetapi pencapaian terbaik hasil daripada komitmen.

"Ia menunjukkan kerja keras selama bertahun-tahun antaranya oleh kerajaan negeri dan agensi Persekutuan. Ini perlu diteruskan dari segi kestabilan dasar dan hala tuju strategik daripada kerajaan," katanya.

Konsep “friendshoring” sedang menambah baik perdagangan global dengan mengutamakan perkongsian, lebih-lebih lagi apabila rantaian bekalan global melalui penelitian yang semakin meningkat dalam aspek keselamatan dan kebolehpercayaan.

Keadaan ini menjelma dengan pantas sebagai pendekatan strategik untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan kecekapan dalam perdagangan.

Membandingkan JS-SEZ dengan “friendshoring,” Nordin berkata: “Apa yang kita lihat pada masa ini adalah permulaan untuk menyusun semula rantaian bekalan kuasa besar secara berterusan.

"Oleh itu, Malaysia perlu memanfaatkan proses “friendshoring” ini dan memastikan pelaburan ini datang ke Malaysia, bukannya negara lain di rantau ini. Ini juga bermakna Malaysia perlu melakukan usaha yang lebih besar dalam memastikan diplomasi diurus dengan berkesan," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata pelabur asing menunggu Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Oktober ini, terutama berkaitan insentif yang ditawarkan kepada pelabur, khususnya dalam sektor yang disasarkan secara agresif oleh Malaysia sebagai enjin pertumbuhan seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan